Sejarah hitam Jerman, Paraguay lakar kejutan

Foto AFP

FOXBOROUGH, 30 Jun – Kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia FIFA 2026 tercipta apabila juara dunia empat kali, Jerman, tersingkir awal di pusingan 32 selepas ditundukkan pasukan ranking ke-41 dunia, Paraguay, menerusi penentuan sepakan penalti, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Julio Enciso menanduk masuk gol tiga minit sebelum tamat babak pertama, mengejutkan pertahanan lawan dan menewaskan Manuel Neuer.
  • Kai Havertz menyamakan pada minit ke-54 menerusi tandukan hasil hantaran lintang Florian Wirtz, menghidupkan semula peluang pasukannya.
  • Penentuan penalti penuh drama; Havertz, Woltemade dan Tah gagal, sementara Jose Canale tenang menyempurnakan sepakan terakhir untuk mengesahkan kemenangan.

Perlawanan yang penuh mendebarkan itu terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan, sebelum Paraguay melakar kejutan terbesar kejohanan untuk mara ke pusingan 16 terakhir.

Kegagalan bintang Jerman seperti Kai Havertz, Nick Woltemade dan Jonathan Tah menyempurnakan sepakan penalti penting akhirnya membawa padah apabila skuad Die Mannschaft menjadi gergasi bola sepak dunia pertama yang pulang awal dari kejohanan kali ini.

Meskipun Paraguay mensia-siakan dua peluang keemasan untuk menyingkirkan Jerman lebih awal dalam penentuan tersebut, Jose Canale muncul wira apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan mutlak.

Terdahulu dalam aksi 90 minit permainan, Paraguay mengejutkan kem Jerman apabila mendahului perlawanan tiga minit sebelum tamat babak pertama.

Hantaran jauh Miguel Almiron ke dalam kotak penalti berjaya ditanduk kemas oleh Julio Enciso menewaskan penjaga gol veteran, Manuel Neuer, sekali gus menghukum Jerman yang mendominasi 79 peratus penguasaan bola pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Jerman bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi Kai Havertz yang bijak menanduk masuk hantaran lintang berbahaya daripada Florian Wirtz untuk kembali menghidupkan peluang pasukannya.

Memasuki asakan di masa tambahan, Jerman hampir meraikan gol kemenangan apabila Jonathan Tah berjaya menjaringkan gol melalui tandukan, namun dibatalkan oleh sistem video bantuan pengadil (VAR) selepas mendapati Waldemar Anton melakukan kekasaran terlebih dahulu ke atas penjaga gol Paraguay, Orlando Gill.

Drama penentuan penalti menyaksikan Jerman berada di ambang kekalahan awal selepas Havertz dan Woltemade gagal menyempurnakan sepakan mereka.

Sinar harapan kembali menyala buat Jerman apabila Antonio Sanabria gagal menjaringkan gol buat Paraguay, disusuli tindakan tangkas Neuer menyelamatkan sepakan Fabian Balbuena.

Namun, harapan Jerman berkecai apabila sepakan penalti Tah melambung tinggi melepasi palang gol, sebelum Canale memastikan kegemilangan Paraguay dengan sepakan penalti terakhir yang mengesahkan kemenangan bersejarah itu.

Susulan kemenangan mengejut ini, Paraguay dijadual bakal berdepan sama ada Perancis atau Sweden pada aksi pusingan 16 terakhir yang akan berlangsung di Philadelphia pada 4 Julai ini.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.