
ARLINGTON, 30 Jun – Pengendali Norway, Stale Solbakken memuji kepimpinan luar biasa Erling Haaland, ketika beliau mempersiapkan skuadnya untuk berdepan Ivory Coast dalam aksi pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 esok.
- Solbakken puji Haaland sebagai pemimpin dan 'powerhouse' selepas meledak empat gol peringkat kumpulan.
- Haaland dianggap gabungan kekuatan fizikal, ledakan dan kecekapan, menjadikannya salah seorang pemain terbaik dunia.
- Norway kini lebih selesa menguasai bola berbanding era 90-an yang lebih bergantung kepada kekuatan fizikal dan bola mati.
- Solbakken tekankan perlunya menandingi fizikal Ivory Coast untuk mengekalkan identiti dan mara lebih jauh.
Penyerang berbisa Manchester City, Haaland, menjadi sandaran utama apabila gergasi Scandinavia itu akhirnya kembali ke pentas bola sepak terbesar dunia setelah kali pertama beraksi di Perancis 1998.
“Setakat ini, semuanya berjalan lancar,” kata Solbakken, merujuk kepada kemajuan pasukannya.
“Kami sangat berpuas hati dengan apa yang telah kami lakukan setakat ini, berada di pusingan 32 terakhir. Itu adalah sasaran awal kami untuk kejohanan ini dan sekarang mahu melangkah lebih jauh lagi,” menurut Solbakken.
Solbakken memuji Haaland, 25, selepas meledak empat gol dalam peringkat kumpulan dan menyifatkannya sebagai penyerang yang memiliki kekuatan fizikal luar biasa atau ‘powerhouse’.
“Haaland adalah seorang pemimpin yang hebat dan memimpin melalui teladan di atas padang,” jelas Solbakken.
“Saya rasa dia mewarisi kekuatan fizikal yang hebat ini daripada ibu atau bapanya…mempunyai sesuatu yang sukar dicapai melalui latihan semata-mata. Saya rasa itu adalah kekuatan terbesarnya, di samping keupayaan ledakan serta fizikalnya.
“Gabungan semua itu menjadikannya salah seorang pemain terbaik di dunia,” katanya.
Solbakken turut menyatakan bahawa corak permainan Norway telah banyak berubah berbanding kali terakhir mereka beraksi di Piala Dunia 28 tahun lalu iaaitu barisan pemain kini lebih selesa mengawal bola.
“Kini, kami mempunyai pemain yang memiliki kekuatan dalam penguasaan bola, berbeza dengan era 90-an semasa kali terakhir kami di Piala Dunia, pasukan ketika itu mungkin lebih bergantung kepada kekuatan fizikal yang keras dan situasi bola mati,” katanya lagi.
Namun, pengendali Norway itu mengingatkan bahawa pasukannya perlu mengimbangi kekuatan fizikal Ivory Coast dalam pertembungan di Arlington, Texas itu.
“Ivory Coast adalah pasukan yang sangat fizikal dan kuat. Itu adalah perkara pertama yang mesti kami tandingi.
Jika kami berjaya menandingi aspek tersebut, kemudian mengekalkan identiti,” tegas beliau.
RTM akan menyiarkan siaran langsung pertembungan Ivory Coast menentang Norway di Saluran Sukan RTMKlik pada 12 tengah malam ini. – AFP