
TOKYO, 30 Jun – Peminat Jepun kecewa apabila impian untuk melihat skuad bola sepak kebangsaan mereka untuk melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia 2026 berkecai, selepas tunduk 2-1 kepada gergasi Amerika Selatan, Brazil, pada awal pagi Selasa.
- Kaishu Sano membuka jaringan pada minit ke-29 lewat larian solo dan rembatan kencang menewaskan Alisson.
- Brazil menyamakan kedudukan 11 minit selepas babak kedua bermula, menjadikan perlawanan lebih sengit.
- Gabriel Martinelli meledak gol kemenangan dramatik pada minit ke-95, menamatkan peluang Jepun untuk sambungan aksi.
- Sekitar 200 penyokong berkumpul di Tokyo, berjaga hingga awal pagi, kecewa dan ada yang perlu bekerja selepas menonton.
Perlawanan pusingan 32 terakhir yang berlangsung di Houston itu menyaksikan Jepun terlebih dahulu mengejutkan juara dunia lima kali tersebut dengan gol pembukaan.
Bagaimanapun, Brazil berjaya menyamakan kedudukan sebelum Gabriel Martinelli meledak gol kemenangan dramatik pada minit ke-95.
Jaringan pada saat-saat akhir itu nyata merentap semangat sekitar 200 penyokong setia yang berkumpul seawal pukul 2 pagi waktu tempatan bagi menyaksikan tayangan skrin besar di tengah-tengah bandar raya Tokyo.
Seorang penyokong yang menyarung jersi biru tradisi Jepun, Shigenobu Katsumura meluahkan rasa bangga terhadap kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan pemain, namun mengakui cara kekalahan itu amat menyakitkan.
“Untuk mengheret pasukan sehebat Brazil sehingga ke tahap ini, kita tidak tahu apa yang akan terjadi jika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan,” katanya kepada agensi berita AFP.
“Peluang itu masih ada, jadi apabila ia dirampas pada minit akhir, ia amat mengecewakan,” jelasnya lagi.
Keyakinan penyokong Samurai Blue sebelum ini melonjak tinggi bersandarkan rekod kemenangan sulung Jepun ke atas Brazil dalam aksi persahabatan di Tokyo pada Oktober tahun lalu.
Faktor perbezaan zon masa dengan tuan rumah Piala Dunia di Amerika Utara memaksa peminat di Jepun berjaga sepanjang malam demi perlawanan yang berakhir sekitar pukul 4 pagi tadi.
“Saya berjaga sepanjang malam. Saya akan pulang ke rumah seketika sebelum masuk bekerja pada pukul 8:30 pagi ini,” kata Noa Takagi.
Sorakan kegembiraan mula bergema di ruang tontonan umum pada minit ke-29 apabila pemain tengah Jepun, Kaishu Sano, melakukan larian solo bertenaga sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Brazil, Alisson.
Bagaimanapun, suasana kembali tegang apabila Brazil menyamakan kedudukan 11 minit selepas babak kedua bermula.
Brazil kemudiannya melancarkan serangan bertali arus ke kubu Jepun sebaik sahaja perlawanan memasuki masa kecederaan.
Martinelli akhirnya muncul wira Brazil apabila menyumbat gol kemenangan di penghujung aksi, sekali gus memaksa peminat Jepun pulang dengan seribu penyesalan.
“Saya benar-benar fikir kami boleh menang, jadi penamat ini sangat mendukacitakan. Namun, Brazil membuktikan mengapa mereka adalah kuasa besar bola sepak dunia. Mereka sangat hebat,” ujar Tomo Yoshida.- AFP