Saddam juara Super Elit Spartan

KUALA LANGAT, 20 Oktober – Atlet lasak negara, Saddam Pittli terus membuktikan keunggulan apabila menjuarai kategori Super Elit Lelaki dalam Perlumbaan Spartan Malaysia 2025 yang berlangsung di Gamuda Cove.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saddam Pittli menjuarai kategori Super Elit Lelaki dalam Spartan Malaysia 2025, melengkapkan dua kemenangan berturut-turut.
  • Beliau menamatkan 10 km dengan 25 halangan dalam masa 52 minit, melebihi sasaran masa satu jam.
  • Kejayaan dikongsi keluarga apabila anaknya, Syahid Al Zahran, menamatkan Spartan Kids di tempat ke-9.

Saddam menamatkan perlumbaan 10 kilometer dengan 25 halangan dalam tempoh 52 minit 25 saat.

Dia mengetepikan cabaran peserta Perancis, Pierre Aigret (53:35) dan wakil Rusia, Oleg Stepanov (55:17) yang masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

Kejayaan ini melengkapkan dua kemenangan berturut-turut buat Saddam selepas dia turut memenangi kategori Beast Elit Lelaki pada Sabtu.

“Saya sangat berpuas hati dengan perlumbaan ini untuk larian 10 kilometer dengan 25 halangan ini saya sasarkan masa 1 jam tetapi saya berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan 52 minit,” katanya.

Lebih bermakna, kejayaan Saddam kali ini turut dikongsi bersama anaknya, Syahid Al Zahran, yang menyertai acara Spartan Kids dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-9.

Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan menyifatkan penganjuran kali ini sebagai berjaya bukan sahaja dari sudut penyertaan, malah dalam memupuk semangat kekeluargaan dan merancakkan sektor pelancongan sukan negara.

Perlumbaan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan penyertaan lebih 2,000 peserta dari 30 negara, termasuk lebih 500 kanak-kanak dalam kategori Spartan Kids.

Ia dianjurkan secara bersama oleh Score Sports Management.