AI dalam pendidikan tinggi: Keperluan, bukan pilihan

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • AI mempercepat penyediaan bahan pengajaran, menjimatkan masa untuk interaksi dan pembelajaran dua hala.
  • Bahan lebih kreatif dan interaktif meningkatkan minat pelajar serta menyokong pemahaman konsep kompleks secara kontekstual.
  • Pensyarah mesti menyemak dan menyesuaikan bahan AI agar selaras dengan hasil pembelajaran dan konteks tempatan.
  • Institusi perlu sediakan infrastruktur, latihan berterusan dan panduan etika untuk penggunaan AI yang bertanggungjawab.

Perkembangan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) yang pesat bukan lagi sekadar fenomena teknologi global, malah telah memberi kesan langsung kepada sistem pendidikan tinggi negara. Di universiti, AI bukan lagi gambaran masa depan, sebaliknya sudah menjadi realiti semasa yang mempengaruhi pendekatan pengajaran dan pembelajaran.

Dalam konteks ini, pensyarah tidak boleh kekal sebagai pemerhati, tetapi perlu bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan landskap digital yang semakin dinamik.
Penggunaan AI dalam penyediaan bahan bantu mengajar membuka ruang kepada inovasi pedagogi yang lebih kreatif dan responsif terhadap keperluan generasi pelajar masa kini.

Namun begitu, keberkesanan integrasi AI bergantung kepada kesiapsiagaan pensyarah serta sokongan institusi dari segi infrastruktur dan latihan berterusan.
Transformasi ini menuntut pendekatan yang seimbang dimana memanfaatkan teknologi secara bijaksana tanpa mengabaikan nilai integriti akademik dan peranan insan sebagai pendidik.

Memudah Penyediaan Bahan Bantu Mengajar

Salah satu cabaran utama pensyarah di universiti ialah kekangan masa. Selain mengajar, pensyarah turut terlibat dalam penyelidikan, penulisan akademik, penyeliaan pelajar serta tugasan pentadbiran. Dalam keadaan ini, penyediaan bahan bantu mengajar yang kreatif dan berkualiti tinggi sering memerlukan masa yang panjang.

Di sinilah AI memainkan peranan penting. Dengan bantuan pelbagai aplikasi berasaskan AI, pensyarah dapat menghasilkan slaid pembentangan, soalan kuiz, ringkasan nota, infografik dan latihan interaktif dalam tempoh yang lebih singkat.

AI membantu menyusun isi kandungan secara sistematik, mencadangkan contoh yang relevan serta mempelbagaikan pendekatan penyampaian mengikut tahap kefahaman pelajar. Penggunaan AI membolehkan pensyarah untuk menyediakan variasi bahan pengajaran dengan lebih pantas tanpa menjejaskan kualiti kandungan.

Masa yang sebelum ini digunakan sepenuhnya untuk mereka bentuk bahan kini dapat diagihkan kepada aspek lain seperti memperkukuh interaksi dua hala di dalam kelas. Ini secara tidak langsung meningkatkan keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Namun AI bukanlah pengganti kepada kepakaran pensyarah. Sebaliknya, ia bertindak sebagai alat sokongan yang mempercepat proses kerja. Pensyarah tetap perlu menyemak, menilai dan menyesuaikan bahan yang dihasilkan agar selaras dengan hasil pembelajaran kursus serta konteks tempatan.

Bahan Lebih Kreatif, Pelajar Lebih Berminat

Generasi pelajar masa kini merupakan generasi digital yang terbiasa dengan visual menarik, kandungan interaktif dan penyampaian yang pantas. Kaedah pengajaran tradisional semata-mata mungkin tidak lagi mencukupi untuk mengekalkan tumpuan mereka dalam tempoh yang Panjang. Dengan penggunaan AI, bahan bantu mengajar dapat diolah menjadi lebih dinamik dan menepati cita rasa generasi muda.

Contohnya, AI boleh membantu menghasilkan simulasi situasi sebenar, senario kajian kes, animasi ringkas atau kuiz interaktif yang merangsang pemikiran kritikal pelajar. Pendekatan ini menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan tidak membosankan.

Apabila bahan pengajaran dipersembahkan dalam bentuk yang lebih visual dan interaktif, pelajar menunjukkan minat yang lebih tinggi untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan kelas.

Mereka lebih berani bertanya soalan dan lebih mudah memahami konsep yang kompleks kerana ia diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal dan kontekstual.
Selain itu, AI juga membantu menyediakan bahan pengukuhan seperti latihan tambahan dan penerangan alternatif untuk pelajar yang memerlukan sokongan lanjut.

Ini sangat membantu dalam memastikan pelajar yang lemah tidak ketinggalan, manakala pelajar yang cemerlang dapat terus dicabar dengan soalan aras lebih tinggi. Secara keseluruhannya, penggunaan AI menyumbang kepada pengalaman pembelajaran yang lebih inklusif dan berkesan.

Sokongan Institusi: Infrastruktur dan Latihan Pensyarah

Walaupun manfaat AI dalam pendidikan tinggi amat jelas, pelaksanaannya memerlukan sokongan yang menyeluruh daripada pihak institusi. Antara aspek paling asas ialah kemudahan capaian internet atau WiFi yang mantap.

Tanpa sambungan internet yang stabil dan pantas, usaha pensyarah untuk meneroka dan menggunakan aplikasi AI akan terbatas. Justeru, pelaburan dalam infrastruktur digital perlu diberi keutamaan oleh pihak universiti.

Selain itu, pensyarah juga perlu diberikan pendedahan yang sistematik melalui latihan, bengkel dan kursus berkaitan AI. Tidak semua pensyarah mempunyai latar belakang teknologi atau pengalaman menggunakan alat digital secara mendalam. Tanpa bimbingan yang sesuai, mereka mungkin berasa kekok atau kurang yakin untuk mengaplikasikan AI dalam pengajaran.

Program pembangunan profesional yang berterusan amat penting bagi memastikan pensyarah bukan sahaja memahami fungsi asas AI, tetapi juga mahir menggunakannya secara beretika dan bertanggungjawab. Isu seperti integriti akademik, ketepatan maklumat dan perlindungan data perlu diberi perhatian agar penggunaan AI tidak menjejaskan nilai pendidikan itu sendiri.

Dalam jangka panjang, universiti boleh membentuk komuniti amalan dalam kalangan pensyarah untuk berkongsi pengalaman, idea dan amalan terbaik berkaitan penggunaan AI. Perkongsian ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran individu, malah mewujudkan budaya inovasi yang sihat dalam institusi.

Perkembangan AI bukanlah ancaman kepada profesion pensyarah, sebaliknya satu peluang besar untuk memperkasa pengajaran di peringkat universiti. Dengan memanfaatkan AI secara bijaksana, pensyarah dapat menjimatkan masa, menghasilkan bahan yang lebih kreatif dan menarik, serta membantu pelajar menguasai subjek dengan lebih berkesan.

Namun, kejayaan transformasi ini bergantung kepada kesediaan pensyarah untuk berubah dan sokongan institusi dari segi infrastruktur serta latihan. Jika digembleng secara menyeluruh, AI mampu menjadi pemangkin kepada ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik, relevan dan berdaya saing selaras dengan tuntutan era digital masa kini.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Nur Fadhlina Mohamad Zabidey
Pensyarah Matrikulasi
Jabatan Pengurusan dan Informasi (Pengurusan)
Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Selangor
e-mel: nurfadhlina@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.