Piala Super Sepanyol: Valverde, Rodrygo bawa Real ke pentas akhir

Rodrygo meraikan gol kedua Real Madrid ketika menentang Atletico Madrid dalam aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol di Jeddah, Arab Saudi/Foto REUTERS

JEDDAH, 9 Januari – Real Madrid mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Super Sepanyol selepas menewaskan Atletico Madrid awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Valverde membuka jaringan awal dengan sepakan percuma pada minit kedua untuk memberi kelebihan kepada Real Madrid.
  • Rodrygo menggandakan kedudukan pada minit ke-55 selepas menyambar hantaran kemas Valverde dan menewaskan Oblak.
  • Courtois membuat beberapa penyelamatan penting sementara Atletico gagal menyamakan, memastikan Real ke final menentang Barcelona.

Gol awal kapten pasukan, Federico Valverde serta jaringan Rodrygo pada separuh masa kedua memastikan kemenangan Los Blancos dan pertemuan klasik menentang Barcelona, Ahad ini.

Valverde membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol Atletico, Jan Oblak.

Atletico kemudian menguasai permainan, namun Thibaut Courtois tampil cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya, termasuk daripada Alex Baena dan Alexander Sorloth.

Kelebihan Real bertambah pada minit ke-55 apabila Rodrygo menyambar hantaran Federico Valverde dan menyudahkan peluang dengan tenang melepasi Oblak.

Atletico merapatkan jurang tiga minit kemudian apabila Sorloth menanduk masuk hantaran lintang Giuliano Simeone.

Walaupun mencipta beberapa peluang, namun anak buah Diego Simeone gagal menyamakan kedudukan, sekali gus menyaksikan Real Madrid mara ke saingan akhir menentang Barcelona, ulangan musim lalu.