Piala Dunia: Azteca jadi pentas England, Mexico rebut suku akhir

Jurulatih England, Thomas Tuchel dan Jurulatih Mexico, Javier Aguirre/ AFP

MEXICO CITY, 5 Julai- Pertemuan England dan tuan rumah, Mexico menjadi tumpuan aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 apabila kedua-dua pasukan memburu slot ke suku akhir dalam perlawanan yang jadual berlangsung di Stadium Azteca pada 6.00 petang waktu tempatan (8.00 pagi Isnin waktu Malaysia).

RINGKASAN BERITA AI
  • England bangkit tewaskan Republik Demokratik Congo 2-1 melalui dua jaringan lewat kapten Harry Kane.
  • Thomas Tuchel akui pasukannya belum pamer aksi terbaik dan tiada masa mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan altitud tinggi.
  • Mexico berkeyakinan selepas menang semua empat perlawanan di laman sendiri tanpa dibolosi, termasuk kemenangan 2-0 ke atas Ecuador.
  • Javier Aguirre percaya perlawanan ditentukan prestasi di atas padang dan akui England memiliki pemain berkualiti serta fizikal kuat.

England melangkah ke pusingan kalah mati selepas bangkit menewaskan Republik Demokratik Congo 2-1 menerusi dua jaringan lewat kapten, Harry Kane.

Namun, skuad kendalian Thomas Tuchel masih belum mempamerkan aksi terbaik sepanjang kejohanan.

Cabaran The Three Lions dijangka lebih getir apabila perlu menyesuaikan diri dengan faktor altitud Stadium Azteca yang terletak kira-kira 2,240 meter dari aras laut, selain berdepan Mexico yang tampil cemerlang di hadapan penyokong sendiri.

Tuchel mengakui pasukannya tidak mempunyai tempoh mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan keadaan itu, namun menyifatkan Stadium Azteca sebagai gelanggang ikonik yang sentiasa menghadirkan suasana istimewa dalam sejarah Piala Dunia.

Mexico pula memasuki perlawanan dengan keyakinan tinggi selepas memenangi kesemua empat aksi di laman sendiri tanpa dibolosi sebarang gol. Kemenangan 2-0 ke atas Ecuador pada pusingan sebelum ini turut menamatkan penantian 40 tahun mereka untuk melakar kemenangan di pusingan kalah mati Piala Dunia.

Jurulatih Mexico, Javier Aguirre, percaya perlawanan itu akan ditentukan oleh prestasi kedua-dua pasukan di atas padang dan bukannya faktor altitud, sambil mengakui England memiliki barisan pemain berkualiti serta kekuatan fizikal yang tinggi.

Sementara itu, satu lagi aksi pusingan 16 terbaik menemukan Brazil dan Norway di Stadium MetLife, New Jersey, Amerika Syarikat dengan penyerang Norway, Erling Haaland, dijangka menjadi ‘ancaman utama’ selepas meledak lima gol dalam tiga penampilan pada kejohanan kali ini.

Erling Haaland

Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti yakin benteng pertahanannya mampu mengekang Haaland memandangkan beberapa pemainnya sudah biasa berdepan penyerang Manchester City itu dalam saingan liga Eropah.

Dalam pada itu, jurulatih Norway, Ståle Solbakken, menggesa anak buahnya supaya tidak terlalu memikirkan reputasi Brazil sebagai juara dunia lima kali, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian terhadap corak permainan sendiri.

Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan bertemu pada aksi suku akhir di Miami. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.