Piala Dunia 2026: Cuaca panas bukan alasan buat skuad ‘The Three Lions’

Foto REUTERS

WEST PALM BEACH, 6 Jun – Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel menegaskan bahawa skuad kendaliannya tidak melihat faktor cuaca panas ekstrem dan jarak perjalanan yang jauh sebagai alasan dalam misi memburu kejuaraan pada kempen Piala Dunia kali ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuchel risau padang baru di Tampa Bay namun yakin ia tidak menjejaskan perancangan, termasuk membuat 11 pertukaran pemain pada separuh masa kedua.
  • Walaupun suhu sehingga 35°C di Dallas, Tuchel tidak akan mengubah taktikal permainan berintensiti tinggi dan asakan awal pasukan.
  • Keyakinan mental tinggi kerana ramai pemain bergelar juara kelab, membantu mereka mengendalikan tekanan perlawanan akhir.
  • Ezri Konsa kata pemain kurang biasa cuaca panas namun bertekad cepat menyesuaikan diri; England diundi bersama Croatia, Ghana dan Panama.

Beliau berkata cabaran logistik dan perubahan cuaca di tiga negara tuan rumah Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada merupakan sebahagian daripada ujian yang perlu dilalui oleh anak buahnya jika mahu melangkah jauh dalam kejohanan tersebut.

England, yang dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan selama 60 tahun, kini berada di Florida bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang New Zealand pada Sabtu sebelum menentang Costa Rica di Orlando pada Rabu.

“Kami tidak mahu ia (cuaca dan logistik) menjadi alasan. Ia pasti sukar dan kami berharap ini akan menjadi kempen Piala Dunia yang panjang buat kami.

“Tugas kami adalah untuk mewujudkan suasana di mana pasukan kekal tenang, sabar, dan bijak menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Itulah yang diperlukan untuk mengharungi kejohanan ini,” katanya dalam sidang media di sini.

Mengulas mengenai aksi menentang New Zealand, Tuchel mengakui sedikit bimbang dengan keadaan padang yang baru diturap semula di Tampa Bay.

Namun menegaskan ia tidak akan menjejaskan perancangan pasukan termasuk melakukan 11 pertukaran pemain pada separuh masa kedua.

Meski pun bakal berdepan suhu mencecah 35 darjah Celsius di Dallas menjelang aksi pembukaan Kumpulan L menentang Croatia pada 17 Jun, pengendali kelahiran Jerman itu memberi jaminan tidak akan mengubah taktikal permainan berintensiti tinggi dan asakan awal (hard-pressing) yang menjadi DNA pasukannya.

Dalam pada itu, Tuchel menyatakan keyakinannya terhadap aspek mentaliti pasukan, bersandarkan reputasi sebilangan pemainnya yang berjaya menjulang trofi bersama kelab masing-masing musim ini.

“Kami sangat gembira kerana mempunyai ramai pemain bergelar juara… ia meningkatkan keyakinan diri secara semula jadi, bukan buatan.

“Pemain-pemain ini tahu bagaimana untuk mengendalikan tekanan dan telah membuktikannya dalam perlawanan akhir,” katanya yang membayangkan sudah mempunyai bayangan 14 hingga 15 pemain utama.

Sementara itu, pemain pertahanan Aston Villa, Ezri Konsa yang sedang bersaing merebut posisi kesebelasan utama bersama Marc Guehi dan John Stones, mengakui majoriti pemain England tidak biasa dengan cuaca panas tersebut namun bertekad untuk menyesuaikan diri dengan kadar segera.

Selain Croatia, naib juara Kejohanan Eropah (Euro) dua kali berturut-turut itu diundi dalam Kumpulan L bersama-sama Ghana dan Panama. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.