Pengurusan Star City FC tepis spekulasi status Mehmet Durakovic

Datuk Syed Mahadi Syed Hassan

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Pengurusan Star City FC menepis khabar angin mengenai status Mehmet Durakovic sebagai ketua jurulatih pasukan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • CEO Datuk Syed Mahadi berpuas hati dan yakin penuh terhadap keupayaan jurulatih mengemudi pasukan.
  • Masih ada ruang penambahbaikan terutama ketajaman taktikal dan keserasian pemain yang belum capai tahap optimum.
  • Kelab akan adakan perbincangan teknikal dan kemungkinan perubahan pertahanan menjelang jendela perpindahan kedua.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Star City FC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan berkata, pihak pengurusan amat berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan bawah kendalian jurulatih kelahiran Australia itu selepas mengharungi beberapa perlawanan awal musim ini.

“Setakat ini saya amat berpuas hati dan mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan beliau mengemudi pasukan. Beberapa kelemahan kecil yang dikenal pasti pasti dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Kedudukan beliau masih selamat dan saya kekal yakin dengan kebolehan serta pencapaian beliau bersama pasukan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media di ibu negara, malam tadi.

Bagaimanapun, Datuk Syed Mahadi mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan, khususnya dari segi ketajaman taktikal dan keserasian pemain yang masih dalam proses pemantapan.

“Mungkin dari segi keserasian antara pemain, kita belum mencapai tahap optimum sepenuhnya. Bagaimanapun, perkembangan semasa menunjukkan petanda positif ke arah yang lebih baik,” katanya lagi

Mengulas lanjut mengenai kelemahan benteng pertahanan yang kerap dibolosi dalam beberapa aksi terdahulu, beliau memberi bayangan bahawa pihak kelab akan melakukan perbincangan teknikal bagi memperkemaskan skuad menjelang jendela perpindahan kedua.

“Insya-Allah, menjelang jendela perpindahan kedua nanti, kita akan melihat beberapa perubahan dari sudut pertahanan, terutamanya bagi memperkukuh bahagian benteng yang kerap dibolosi.

“Secara keseluruhannya, saya yakin Star City FC mampu melangkah lebih jauh berdasarkan kekuatan skuad yang kita miliki ketika ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.