
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berada di fasa akhir untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama dua syarikat gergasi tempatan bagi memperkukuh sokongan komersial skuad kebangsaan, Harimau Malaya, serta badan induk itu.
- Datuk Syed Mahadi menepis khabar angin mengenai penarikan diri penaja; jawatankuasa belum menerima sebarang maklumat rasmi.
- FAM bercadang menyatukan media, pemasaran, komunikasi, digital dan komersial sebagai satu pasukan terkoordinasi.
- Pendekatan bersepadu diharap memberi kesan kepada peminat dan membantu mengangkat imej bola sepak negara.
- Datuk Syed Mahadi dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif FAM dan mengetuai portfolio Media serta Pemasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Media dan Pemasaran FAM, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan berkata, perbincangan bersama kedua-dua entiti korporat terbabit kini telah mencapai peringkat akhir dan hanya menunggu sesi menandatangani perjanjian rasmi.
“Setakat ini, dua syarikat besar tempatan telah kita kenal pasti dan mereka telah memberikan komitmen.
“Perbincangan sudah sampai ke peringkat untuk kita menandatangani MoU berkenaan, insya-Allah dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama Media, malam tadi.
Dalam pada itu, Datuk Syed Mahadi turut menepis khabar angin berhubung isu penarikan diri penaja sedia ada badan induk itu, termasuk desas-desus membabitkan institusi kewangan terkemuka.
Tegasnya, setakat ini pihak jawatankuasa belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung pengunduran mana-mana pihak penaja.
Dalam perkembangan yang lain, FAM mahu beralih daripada budaya kerja secara berasingan dengan menyatukan gerak kerja media, pemasaran, komunikasi, digital dan komersial sebagai satu pasukan.
Pendekatan lebih tersusun dan bersepadu dilihat penting bagi memastikan usaha persatuan memberi kesan kepada peminat serta membantu mengangkat imej bola sepak negara.
“FAM serta bola sepak Malaysia hanya boleh diangkat menjadi lebih cemerlang jika kita mula membudayakan kerja berpasukan dan tidak mengamalkan in silo mentality,” katanya lagi.
Media bukan sekadar menyampaikan berita dan maklumat, malah memainkan peranan dalam membentuk persepsi serta mempengaruhi pandangan masyarakat.
Datuk Syed Mahadi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Star City, dipilih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029 pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026, September lepas, sebelum diberikan tanggungjawab menerajui portfolio Media dan Pemasaran.