
MADRID, 17 November – Pemegang saham majoriti FC Andorra, Gerard Pique mengkritik hukuman penggantungan 12 perlawanan yang dikenakan terhadap penjaga gol, Jesus Owono susulan insiden perlanggaran yang mengorbankan penyerang Tenerife, Jesus de Miguel.
- Kritikan bahawa hukuman penggantungan tidak adil kerana kesalahan berlaku di luar kawalan, hukuman sepatutnya berdasarkan tindakan bukan akibat.
- Penjaga gol dilayangkan kad merah selepas berlari keluar dan bertembung dengan De Miguel semasa cuba mengeluarkan bola.
- Mangsa dimasukkan ke unit rawatan rapi lalu meninggal dunia; Owono alami hari paling sukar, kelibat kembali bergantung pada dirinya.
Beliau menyifatkan hukuman berkenaan sebagai tidak adil kerana ‘kesalahan’ adalah di luar kawal.
Penjaga gol antarabangsa Equatorial Guinea, Owono, dilayangkan kad merah ketika perlawanan divisyen dua Sepanyol pada 2 November lepas, selepas berlari keluar ke bahagian tengah padang dan bertembung dengan De Miguel ketika cuba melakukan sepakan untuk mengeluarkan bola.
De Miguel, 30 tahun telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di hospital sebelum meninggal dunia pada keesokan harinya.
Insiden berkenaan mengejutkan dunia bola sepak.
Dalam sebuah video yang dimuat naik ke TikTok lewat Isnin, Pique menyatakan hukuman yang dijatuhkan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol meletakkan Owono “dalam keadaan yang tidak adil”.
“Saya berpendapat hukuman sepatutnya berdasarkan tindakan yang dilakukan, bukannya akibat daripada kejadian itu,”kata Pique.
Beliau turut membandingkan tragedi di Tenerife itu dengan satu insiden hampir serupa sebelum ini yang hanya membawa kepada hukuman penggantungan lebih singkat.
Owono, 25 tahun, sebelum ini mengakui sedang melalui “hari-hari paling sukar dalam hidupnya” selepas kematian De Miguel.
Sementara itu, Ketua jurulatih FC Andorra, Carles Manso, berkata keputusan sama ada penjaga gol itu akan kembali beraksi ditentukan oleh penjaga gol itu sendiri selepas melalui tragedi berkenaan.-AFP