Pahang Rangers hanya perlu seri untuk juara MPFL

Foto RTM

SHAH ALAM, 30 Oktober – Pahang Rangers hanya memerlukan keputusan seri menentang Selangor FC pada aksi final kedua Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2026, esok, untuk mengesahkan kejuaraan musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekanan kini memihak kepada Selangor yang perlu menang untuk menghidupkan peluang menjuarai MPFL.
  • Pahang akan utamakan pertahanan untuk mengekalkan kelebihan selepas kemenangan 4-3 di Kuantan.
  • Akmarulnizam tekankan bukan sekadar bertahan; terus ikut perancangan, kekal mental kuat dan disiplin.
  • Mohd Afiq, penjaga gol dan Pemain Terbaik perlawanan pertama, dijangka menjadi faktor penting mempertahankan benteng Pahang.

Ketua jurulatih Pahang Rangers, Eloy Alonso Fraile berkata, perlawanan di gelanggang lawan itu menghadirkan situasi berbeza apabila tekanan kini lebih memihak kepada Selangor FC yang perlu menang untuk menghidupkan peluang merebut gelaran.

Menurutnya, Pahang akan memberikan tumpuan kepada aspek pertahanan bagi mengekalkan kelebihan selepas mencatat kemenangan 4-3 pada aksi final pertama di Kuantan.

“Selangor beraksi di laman sendiri dan mereka merupakan pasukan pilihan yang perlu meraih kemenangan. Jadi, perlawanan ini mempunyai situasi yang berbeza sama sekali.

“Kuncinya terletak pada aspek pertahanan, dengan memastikan benteng pertahanan berfungsi dengan baik dan semua pemain mempunyai mentaliti yang kuat,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Kemenangan pada aksi final pertama membolehkan Pahang mengutip tiga mata, manakala Selangor masih belum memperoleh sebarang mata memandangkan kejuaraan ditentukan berdasarkan kutipan mata dan bukannya agregat gol.

Sementara itu, kapten Pahang Rangers, Akmarulnizam Mohd Idris mengakui cabaran di Shah Alam lebih sukar berbanding aksi pertama, terutama mengambil kira rekod pasukan yang kurang memberangsangkan di gelanggang berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Pahang tidak akan sekadar bertahan, sebaliknya tetap berpegang pada perancangan permainan yang digunakan ketika menewaskan Selangor di Kuantan.

“Kami datang ke sini bukan sekadar untuk bertahan. Sebaliknya, kami akan tetap mengikut perancangan permainan yang sama seperti pada aksi final pertama di Kuantan,” katanya.

Akmarulnizam turut menekankan kepentingan mentaliti dan disiplin dalam kalangan pemain, termasuk mengelakkan layangan kad yang boleh menjejaskan perancangan pasukan.

Peringatan itu hadir selepas rakan sepasukannya, Ahmad Harith, dilayangkan kad merah pada minit kelapan ketika aksi final pertama.

Selangor FC pula berdepan tugas getir untuk menembusi benteng Pahang selepas kekalahan 3-4 di Kuantan menamatkan rekod 18 kemenangan berturut-turut mereka musim ini.

Benteng Pahang yang dikawal penjaga gol, Mohd Afiq Abdul Rahman, Pemain Terbaik Perlawanan final pertama, dijangka menjadi antara faktor penting dalam usaha pasukan itu mempertahankan kelebihan dan membawa pulang gelaran juara MPFL 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.