PABM titip doa buat atlet angkat berat mohon hormati privasi Udin

Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin atau lebih mesra disapa Udin

KUALA LUMPUR, 17 November – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menitipkan doa buat atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin yang mengalami kecederaan serius dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya SUKE, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PABM utamakan sokongan moral kepada Hafizuddin sepanjang tempoh rawatan.
  • Semua pihak diminta memberikan ruang dan menghormati privasi Hafizuddin serta keluarganya.
  • Ayub memuji semangat juang, disiplin dan sumbangan Udin termasuk pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026.
  • Majlis Sukan Negeri Perlis mengesahkan Udin menjalani pembedahan hari ini akibat kecederaan serius pada tangan kanannya.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan atlet yang lebih dikenali sebagai Udin itu mendapat sokongan moral sewajarnya sepanjang tempoh rawatan.

Beliau turut berharap semua pihak memberikan ruang dan menghormati privasi Hafizuddin serta keluarganya sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.

“Perkhabaran mengenai kemalangan yang menimpa beliau amat menyentuh hati saya dan seluruh keluarga besar sukan angkat berat negara.

“Hafizuddin bukan sahaja seorang atlet yang telah mengharumkan nama Malaysia, malah merupakan seorang yang mempunyai semangat juang, disiplin dan komitmen tinggi dalam sukan angkat berat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Hafizuddin merupakan antara atlet yang banyak menyumbang kepada kecemerlangan sukan angkat berat negara di pentas antarabangsa, termasuk meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

“Terus kuat, Udin. Saya dan seluruh keluarga besar sukan angkat berat Malaysia sentiasa bersama anda,” katanya.

Sementara itu, Majlis Sukan Negeri Perlis menerusi hantaran berasingan memaklumkan Udin menjalani pembedahan hari ini selepas mengalami kecederaan serius pada tangan kanannya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.