‘Kemenangan ke atas Yaman cukup baik buat Harimau Malaya’ – Cheng Hoe

Kejayaan menewaskan Yaman penting untuk meningkatkan keyakinan skuad kebangsaan kata Cheng Hoe/Foto FAM

KUALA LUMPUR, 17 November – Pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Yaman sebagai penutup positif buat skuad negara bagi tahun 2026 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, China hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan selepas kekalahan kepada China.
  • Skuad berjaya mengekalkan momentum walaupun jaringan lewat memberi tekanan menjelang akhir perlawanan.
  • Richard Chin dianggap aset penting; kemampuan bermain di kedua sayap beri pilihan taktikal dan ruang perkembangan.

Menurut Cheng Hoe, kejayaan menewaskan Yaman penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan, terutama selepas Malaysia tewas 0-2 kepada China dalam aksi terdahulu.

Beliau mengakui jaringan Yaman pada penghujung perlawanan sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pemain, namun skuad negara berjaya mengekalkan momentum untuk mempertahankan kelebihan sehingga tamat perlawanan.

“Bagi saya, kemenangan ini cukup baik untuk Harimau Malaya dan menutup tirai 2026 dengan keputusan positif. Walaupun situasi pada saat-saat akhir sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pasukan, pemain akhirnya berjaya mengekalkan momentum untuk meraih kemenangan ke atas Yaman,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas perlawanan itu.

Cheng Hoe turut berpuas hati dengan komitmen pemain dalam kedua-dua perlawanan menentang China dan Yaman, meskipun sebahagian daripada mereka masih baharu bersama skuad serta belum sepenuhnya menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal pasukan.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Richard Chin sebagai aset penting negara selepas pemain kelab Scotland, Ross County mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam kedua-dua aksi berkenaan.

Kemampuan Richard beraksi di kedua-dua posisi sayap, kanan dan kiri, turut memberi lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan dalam merencana taktikal pasukan.

“Richard bukan sahaja boleh beraksi di sayap kanan, malah turut mampu bermain di sebelah kiri. Itu satu kelebihan buat pasukan negara. Lebih penting, beliau masih muda dan mempunyai ruang untuk terus berkembang dari segi prestasi, taktikal serta kemampuan individu,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.