Hafizuddin cedera parah, jalani pembedahan hari ini

Muhammad Hafizuddin Roslin atau lebih mesra disapa Udin cedera parah selepas kemalangan di Lebuhraya SUKE semalam

KUALA LUMPUR, 17 November – Atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin menjalani pembedahan hari ini susulan kecederaan serius pada tangan kanan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya SUKE, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengalami patah tulang tangan kanan dengan komplikasi salur darah; turut cedera kecil di kepala.
  • Kemalangan dipercayai berlaku ketika terbabas motosikal dari Ampang menuju Bukit Jalil sekitar jam 11 malam.
  • Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat menzahirkan simpati, menyeru doa dan sokongan moral untuk Hafizuddin.
  • Pihak diminta menghormati privasi keluarga sepanjang rawatan; Hafizuddin pernah raih emas Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Majlis Sukan Negeri Perlis memaklumkan, Hafizuddin yang juga dikenali sebagai Udin mengalami kecederaan patah tulang tangan kanan serta komplikasi serius membabitkan salur darah di bahagian berkenaan.

“Hasil pemeriksaan pihak perubatan mendapati beliau mengalami kecederaan patah tulang tangan kanan serta komplikasi serius apabila salur darah pada bahagian tersebut tidak lagi berfungsi. Beliau turut mengalami kecederaan kecil pada bahagian kepala.

“Susulan keadaan tersebut, tindakan segera telah diambil oleh pihak perubatan dan beliau diberikan keutamaan untuk menjalani pembedahan pada hari ini,” menurut hantaran MSN Perlis hari ini.

Terdahulu, atlet berkenaan dipercayai terbabas daripada motosikal ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil kira-kira jam 11 malam.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa atlet berkenaan dan berharap segala urusan rawatannya dipermudahkan.

Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan Hafizuddin mendapat sokongan moral sewajarnya selain menyeru orang ramai mendoakan kesembuhan atlet itu.

Ayub turut meminta semua pihak memberikan ruang dan menghormati privasi Hafizuddin serta keluarganya sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.

Hafizuddin sebelum ini turut mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.