Nur Izzuddin-Sze Fei sasar tamat penantian emas 20 tahun

Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei yakin mempunyai peluang yang baik untuk mencabar kejuaraan dan meletakkan sasaran tinggi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026./ RTM

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei, mengintai peluang menamatkan penantian 20 tahun Malaysia untuk meraih emas acara beregu lelaki badminton pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang bermula 19 September ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kali terakhir Malaysia memenangi emas beregu lelaki ialah Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Sukan Asia Doha 2006.
  • Nur Izzuddin berkata mereka sedar persaingan sengit tetapi yakin mempunyai peluang baik dan meletakkan sasaran tinggi pingat emas.
  • Pearly Tan-M. Thinaah tumpu prestasi sendiri, mahu beri aksi terbaik tanpa menyesal; badminton disasarkan menyumbang pingat kepada kontinjen.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara berkenaan ialah menerusi pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Sukan Asia Doha 2006.

Nur Izzuddin berkata mereka menyedari persaingan sengit daripada beregu terbaik Asia, namun tetap yakin mempunyai peluang yang baik untuk mencabar kejuaraan dan meletakkan sasaran tinggi pada temasya kali ini.

“Saya rasa kami mempunyai peluang yang baik walaupun banyak penentang yang kuat akan bermain di Sukan Asia, tetapi kami akan meletakkan sasaran yang tinggi. Sudah tentu sasaran tinggi itu ialah pingat emas,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini hari ini.

Malaysia hampir menamatkan penantian itu pada Sukan Asia Hangzhou 2022, namun pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas terkandas di separuh akhir.

Pearly Tan-M. Thinaah mahu beri aksi terbaik di gelanggang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026./ RTM

Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah memilih untuk memberi tumpuan kepada prestasi mereka sendiri tanpa terlalu memikirkan sasaran keseluruhan kontinjen Malaysia.

Thinaah berkata setiap atlet negara mempunyai keupayaan untuk mencatat kejayaan dalam acara masing-masing, manakala beliau dan Pearly mahu memastikan mereka memberikan aksi terbaik tanpa sebarang penyesalan di gelanggang.“Bagi kami, apa sahaja boleh berlaku. Kami hanya mahu melakukan yang terbaik dan tidak mahu mempunyai sebarang penyesalan di gelanggang,” katanya.

Badminton antara sukan yang dijangka menyumbang pingat kepada kontinjen negara yang menyasarkan enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Terdahulu, Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM), Mohamad Azlan Iskandar dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, hadir menyaksikan sesi latihan skuad badminton negara di ABM, Bukit Kiara, sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi temasya berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.