Abd Halim lebur dua rekod kebangsaan, raih tonik berharga ke Sukan Para Asia 2026

Foto Bernama

SHAH ALAM, 9 September – Jaguh renang para Sabah Abd Halim Mohammad menyifatkan kejayaannya memecahkan dua rekod kebangsaan pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 sebagai tonik berharga untuk tampil lebih mantap pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, bulan depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memecahkan dua rekod kebangsaan 100m dan 50m gaya bebas lelaki S9, memenangi dua emas dengan catatan 1:04.11 dan 28.01.
  • Mengumpul tiga pingat emas di Para SUKMA 2026 selepas turut menjuarai 100m kuak dada lelaki SB8.
  • Berazam sekurang-kurangnya mara ke final 100m gaya bebas S9 dan 100m kuak dada S9; mahu memberi inspirasi kepada atlet para Sabah.

Perenang berusia 28 tahun itu memulakan aksi cemerlangnya di Akuatik Selangor, di sini hari ini dengan memenangi emas dan memecahkan rekod kebangsaan 100 meter (m) gaya bebas lelaki S9 (kecacatan fizikal) apabila mencatatkan masa 1 minit 04.11 saat (s), mengatasi rekod lama 1:06.77s milik Muhammad Safwan dari Selangor yang dilakar pada Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand.

Pingat perak dimenangi Firdaus Fariduddin Noordin dari Pulau Pinang dengan catatan 1:13.75s manakala perenang Sarawak Ng Jia Tak melengkapkan kedudukan podium menerusi pingat gangsa selepas merekodkan masa 1:18.16s.

Beliau kemudian kembali ke kolam renang untuk merangkul emas kedua dan memperbaharui rekod kebangsaan acara 50m gaya bebas lelaki S9 apabila mencatatkan masa 28.01s, sekali gus memadamkan rekod lama 29.47s milik Muhammad Safwan dicipta pada Para SUKMA 2024 di Sarawak.

Atlet dari Tuaran itu menafikan cabaran Muhammad Amirul Akmal Mohd Hafiz dari Kedah yang menyambar perak (32.04s) dan gangsa milik Firdaus Fariduddin (32.40s).

Kejayaan Abd Halim menyaksikan beliau setakat ini mengumpul tiga pingat emas pada temasya berkenaan selepas mengungguli acara 100m kuak dada lelaki SB8 (kecacatan fizikal) dengan catatan 1:15.79s, Isnin lepas.

Abdul Halim berkata pencapaiannya pada penampilan keempat Para SUKMA sejak edisi 2018 di Perak membakar semangatnya untuk sekurang-kurangnya mara ke final acara 100m gaya bebas S9 dan 100m kuak dada S9 di Jepun.

“Saya tidak target podium (Sukan Para Asia 2026). Sasaran utama saya kalau boleh masuk final kerana saya lihat peluang itu ada” katanya kepada pemberita di sini.

Anak keenam dari tujuh beradik itu juga berharap pencapaiannya di temasya sukan kali ini mampu memberikan motivasi kepada barisan baharu atlet para renang, khususnya dari Sabah untuk menyinar pada mana-mana kejohanan disertai selepas ini.

Perenang para kebangsaan itu yang menghidap cerebral palsy sejak lahir sehingga melemahkan anggota badan kirinya, sebelum ini mencipta sensasi muncul atlet lelaki terbaik negara pada Para ASEAN 2025 dengan membawa pulang lima emas, satu perak dan satu gangsa selain memegang empat rekod temasya.

Temasya Para SUKMA Selangor 2026 yang bermula Sabtu lepas akan melabuhkan tirainya esok. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.