Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026: Malaysia mampu bawa pulang emas – Rexy

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 September – Skuad badminton Malaysia berpeluang untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rexy menetapkan sasaran rasmi satu perak dan satu gangsa tanpa memberi tekanan berlebihan kepada pemain.
  • Harapan diletakkan pada beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Aaron Chia-Tee Kai Wun, Pearly Tan-M. Thinaah serta Chen Tang Jie-Cheng Su Yin.
  • Persiapan berada di landasan tepat selepas isu teknikal dan kebajikan pemain berjaya diselesaikan.
  • Minggu terakhir fokus kepada kesihatan, kestabilan mental, motivasi pemain dan pemulihan kecederaan sebelum aksi.

Namun, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky tidak mahu memberi tekanan kepada pemain, sebaliknya mengekalkan sasaran realistik meraih satu pingat perak dan satu pingat gangsa.

“Secara rasmi kita meletakkan sasaran satu perak dan satu gangsa. Namun dari hati kecil saya, saya percaya pemain mampu menyumbang lebih daripada itu, termasuk pingat emas, ” katanya.

Rexy berkata, harapan disandarkan kepada gandingan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Aaron Chia-Tee Kai Wun, selain beregu wanita utama Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran Chen Tang Jie-Cheng Su Yin.

Dalam pada itu, persiapan para pemain kini berada di landasan yang tepat selepas beberapa isu teknikal dan kebajikan pemain berjaya diselesaikan.

Beberapa perkara melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan juga telah diperhalus.

“Hari ini, (Pasangan beregu lelaki) Goh Sze Fei-Nur Izzuddin mula menjalani latihan bersama pasukan. Kami memberi ruang kepada pasangan itu untuk menyesuaikan diri, dan setakat ini segala urusan membabitkan pemain serta jurulatih berjalan lancar.

“Kecederaan Ng Tze Yong turut diberi perhatian, dengan fokus diberikan kepada kestabilan mental dan pemikiran pemain, ” katanya.

Mengulas gandingan Pearly -Thinaah pula, Rexy berkata, prestasi mereka sejak kejohanan di Jepun, Kejohanan Dunia dan China Masters sebelum ini kurang memberangsangkan.

Namun, perbincangan telah diadakan bersama pasangan itu dan segala perancangan yang ditetapkan sudah dilaksanakan.

Fokus minggu terakhir ialah memastikan kesihatan, tumpuan dan motivasi pemain berada pada tahap terbaik sebelum turun beraksi.

Beliau turut berharap keputusan undian kelak dapat menyuntik motivasi tambahan buat para pemain untuk mengatasi cabaran sukar demi memburu pingat tertinggi buat negara.

Rexy bercakap kepada pemberita selepas sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Mohamad Azlan Iskandar dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ke venue latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.