
WP LABUAN, 9 Sept – Skuad muda Blue Dolphin Swim Club mencatat pencapaian membanggakan apabila muncul antara empat kelab terbaik dalam kutipan pingat keseluruhan pada Kejohanan Renang Penampang Preppies Bawah 12 Tahun Kali Ke-16 di Sabah.
- 15 perenang sumbang 12 emas, 13 perak dan 6 gangsa, termasuk tiga rekod kejohanan.
- Hampir semua perenang memperbaiki catatan masa peribadi, menunjukkan perkembangan positif hasil latihan konsisten.
- Skye Teo dinobat Perenang Lelaki Terbaik Bawah 12, raih sembilan emas individu dan bantu pasukan menjuarai acara berganti-ganti rekod.
Seramai 15 perenang kelab itu berjaya menyumbang 12 pingat emas, 13 perak dan enam gangsa, termasuk tiga rekod kejohanan, dalam saingan yang menghimpunkan lebih 300 perenang daripada 14 kelab renang dari Sabah, Labuan dan Miri.
Lebih membanggakan, hampir kesemua perenang Blue Dolphin berjaya memperbaiki catatan masa terbaik peribadi (PB), sekali gus menunjukkan perkembangan positif hasil latihan yang konsisten.
Mengetuai kecemerlangan kelab ialah Skye Teo yang meneruskan dominasi luar biasanya di kejohanan Preppies apabila dinobatkan sebagai Perenang Lelaki Terbaik Bawah 12 Tahun (Boys 12 Best Boy Award) untuk tahun kelima berturut-turut.
Skye memenangi sembilan pingat emas individu, termasuk satu rekod kejohanan, selain membantu pasukan meraih dua emas acara berganti-ganti yang masing-masing hadir menerusi catatan rekod kejohanan, serta satu pingat perak.
Dalam kategori Lelaki 11 Tahun, Edward Ngok meraih tujuh pingat perak dan satu gangsa, selain membantu pasukan memenangi dua emas acara berganti-ganti, kedua-duanya dengan catatan rekod kejohanan, serta satu perak.
Sheng Feng Tiong yang turut bertanding dalam kategori sama menyumbang satu perak dan dua gangsa, selain membantu pasukan meraih dua emas acara berganti-ganti menerusi catatan rekod kejohanan.
Nizam Abd Majid pula menyumbang dua pingat perak dalam kategori Lelaki 10 Tahun, manakala Anish Ruban Raj meraih satu gangsa dalam kategori Lelaki 9 Tahun.
Andrew Ng dalam kategori Lelaki 12 Tahun turut memainkan peranan penting dalam acara berganti-ganti apabila membantu pasukan meraih dua emas, kedua-duanya menerusi catatan masa rekod kejohanan.
Perenang wanita muda turut menyerlah apabila Magdalena Kee, Roshin Ooi, Pearl Neil dan Eva Teo membantu pasukan meraih pingat emas dan perak dalam acara 4×25 meter Medley dan 4×25 meter Gaya Bebas.
Pearl, sembilan, turut mencatat prestasi cemerlang apabila memenangi dua gangsa dalam acara kuak lentang 25 meter dan 50 meter.
Joyce Jeremy dan Roxanne Ooi pula menyumbang kepada kejayaan pasukan menerusi pingat perak dalam acara berganti-ganti.
Menurut Blue Dolphin Swim Club, kejayaan itu bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah pingat yang diraih, sebaliknya peningkatan catatan masa, keyakinan ketika bertanding serta keberanian setiap perenang untuk mencabar diri sendiri turut menjadi ukuran penting terhadap perkembangan mereka.
“Setiap sesi latihan, setiap perlumbaan dan setiap cabaran merupakan peluang untuk membentuk bukan sahaja perenang yang lebih baik, tetapi juga generasi muda yang lebih berdisiplin, yakin dan berdaya saing,” menurut kelab itu.
Blue Dolphin Swim Club berkata pihaknya komited menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak berani bermimpi, bersaing, berkembang dan percaya pada kebolehan diri sendiri.
Pencapaian pada Kejohanan Renang Penampang Preppies Bawah 12 Tahun Kali Ke-16 itu menjadi satu lagi langkah penting dalam perkembangan perenang muda Blue Dolphin, selain diharap menyuntik semangat untuk mereka terus berusaha dan melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.