
SHAH ALAM, 9 Sept – Sensasi cilik Selangor, Alysha Aryana Muhammad Khairul Azli, terus mencuri tumpuan di kolam renang Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 apabila meleburkan dua lagi rekod kebangsaan menerusi acara individu dan berpasukan hari ini.
- Alysha raih emas 200m Gaya Bebas S14 dengan catatan 2:19.92, memadam rekod kebangsaan dan meninggalkan pesaing jauh di belakang.
- Bantu kuartet Selangor pecah rekod kebangsaan 4x100m Gaya Bebas S14 Campuran dengan masa 4:20.93, meraih pingat emas.
- Walau lalui latihan sangat sukar hingga muntah, Alysha tetap berjuang, berazam ke Sukan Para ASEAN dan Sukan Paralimpik.
Perenang berusia 12 tahun itu terlebih dahulu menampilkan aksi bertenaga dalam acara 200 meter (m) Gaya Bebas Wanita S14 untuk meraih pingat emas dengan catatan 2 minit 19.92 saat (s).
Catatan berkenaan memadam rekod kebangsaan terdahulu, selain meninggalkan jauh pencabar terdekatnya dari Pahang, Sascha Salman yang mencatat 2 minit 47.69s, manakala perenang Perak, Zara Ai Lana Mohd Fadzil merekodkan 2 minit 51.40s.
Kira-kira sejam kemudian, Alysha sekali lagi mencipta kejayaan apabila membantu kuartet Selangor memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x100m Gaya Bebas S14 Campuran.
Kuartet tuan rumah merekodkan masa 4 minit 20.93s untuk meraih emas, sekali gus mengetepikan saingan Wilayah Persekutuan yang mencatat 4 minit 31.80s dan Sabah 4 minit 57.12s.
Berkongsi kegembiraannya selepas saingan, Alysha yang juga anak sulung daripada dua beradik mengakui teruja dengan pencapaian berkenaan.
“Saya rasa gembira sangat, rasa ‘emotionless’ bila dapat emas dan pecah rekod kebangsaan untuk kedua-dua acara individu dan berpasukan hari ini,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik kecemerlangan itu, Alysha mengakui perjalanan menuju kejayaan bukan mudah apabila perlu mengharungi rutin latihan yang mencabar dari segi fizikal dan mental.
“Latihan memang sangat, sangat sukar. Tetapi saya tetap teruskan walaupun sampai muntah dalam kolam. Jurulatih selalu pesan supaya terus berjuang dan jangan putus asa, kerana jika kita berputus asa, kita akan kalah,” ujarnya.
Pencapaian hari ini melengkapkan penguasaan cemerlang Alysha di Pusat Akuatik Selangor selepas beliau turut mencipta sensasi pada 7 September lalu.
Dalam aksi pembukaannya, Alysha meraih emas acara 100m Gaya Bebas Wanita S14 dengan catatan 1 minit 4.84s, sebelum membantu Selangor mengungguli acara 4x100m Rampaian S14 Campuran menerusi masa 4 minit 38.35s yang turut memperbaharui rekod kebangsaan.
Bintang muda itu kini menyasarkan langkah lebih jauh di pentas antarabangsa, termasuk memburu peluang beraksi pada temasya Sukan Para ASEAN serta merealisasikan impian untuk beraksi di Sukan Paralimpik.