
NILAI, 11 Januari – Kecederaan lutut kiri tidak menghalang pelumba berbasikal trek negara, Nur Alyssa Farid meraih pingat emas acara keirin elit pada kejohanan Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 2 di Velodrom Nasional di sini hari ini.
- Nur Alyssa Farid raih emas acara keirin elit walau beraksi dengan kecederaan lutut kiri.
- Beliau mempertahankan gelaran keirin dan sudah memenangi perak serta gangsa dalam acara pecut.
- Nur Alyssa akan menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara dan sasarkan mata untuk layak ke Kejohanan Dunia.
Pelumba berusia 20 tahun menewaskan rakan senegara Yong Ann Tung yang meraih tempat kedua, manakala pelumba Hong Kong Tung Phoebe melengkapkan podium dengan pingat gangsa.
Nur Alyssa mengakui terpaksa mengharungi aksi akhir yang mencabar susulan tekanan daripada pelumba Hong Kong, sekali gus menyebabkan perlumbaan berlangsung dalam tempo tinggi.
“Final tadi memang agak penat sebab saya keluar awal lepas motosikal derny membuka perlumbaan, pelumba Hong Kong pula memecut dari belakang, jadi saya banyak guna tenaga untuk mengekalkan kelajuan.
“Saya memang (kayuh) maksimum hampir dua pusingan setengah, jadi agak mencabar. Sebenarnya lutut kiri saya sakit sebab semasa melakukan latihan semalam, lutut saya terhentak sebab pengayuh tercabut, jadi memang ada rasa sakit,” katanya.
Kejayaan itu turut membolehkan pelumba kelahiran Johor itu mempertahankan pingat emas acara sama yang diraihnya pada Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) 1 yang berlangsung pada Khamis, selain meraih pingat perak dan gangsa acara pecut pada kejohanan sama.
Nur Alyssa berkata, susulan kecederaan yang dialaminya, dia dijadual menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) pada Selasa ini.
Atlet yang sedang meningkat naik itu turut meletakkan sasaran untuk mengumpul lebih banyak mata dalam kejohanan kelas satu bagi melayakkan diri ke Kejohanan Dunia tahun ini.
Sementara itu, acara keirin elit lelaki menyaksikan pelumba trek negara Muhammad Ridwan Sahrom memenangi pingat gangsa, manakala Dika Alif Dhentaka dari Indonesia di tempat kedua dan juara menjadi milik To Cheuk Hei dari Hong Kong.-BERNAMA