Muhammad Armin raih emas 110m lari berpagar di Singapura

KUALA LUMPUR, 15 April – Atlet 110 meter lari berpagar lelaki negara Muhammad Armin Zahryl Abdul Latif mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas pada Kejohanan Trek dan Balapan Terbuka Singapura 2026 di Stadium Nasional, Singapura hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Armin Zahryl mencatat masa peribadi terbaik 13.82 saat.
  • Mengatasi Ang Chen Xiang (13.85s) sementara Clinton Kingsley Bautista meraih gangsa dengan 14.22s.
  • Sasarkan 13.90s tahun ini; beliau berterima kasih kepada ibu, jurulatih, rakan dan peminat.
  • Ng Jing Xuan memenangi perak rejam lembing dengan lontaran 47.49m.

Menurut hantaran di Facebook Olahraga Malaysia, Muhammad Armin Zahryl turut mencatat masa peribadi terbaik (PB) baharu, iaitu 13.82 saat (s).

Beliau mengatasi pencabar terdekat yang juga atlet tuan rumah Ang Chen Xiang yang meraih perak dengan catatan 13.85s manakala gangsa menjadi milik atlet Filipina Clinton Kingsley Bautista (14.22s).

“Saya gembira dapat mencatatkan PB (13.82s) untuk mengatasi catatan sebelum ini (13.85s). Sebenarnya, sasaran saya tahun ini adalah melakukan 13.90s dan alhamdulillah saya dapat mencipta PB baharu.

“Saya berterima kasih kepada ibu saya, jurulatih, rakan seperjuangan dan peminat di tanah air yang sentiasa memberikan sokongan,” kata atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Sementara itu, dalam acara rejam lembing wanita, Ng Jing Xuan turut menghadiahkan pingat perak buat negara selepas melakukan rejaman sejauh 47.49m.

Kejohanan Trek dan Balapan Terbuka Singapura 2026 berlangsung bermula hari ini sehingga 17 April. / BERNAMA