Undian seimbang Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Malaysia diundi bertemu Jepun, Singapura dalam misi pertahan gelaran

KUALA LUMPUR, 15 April – Juara bertahan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bagi divisyen premier acara regu pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang dijadual berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 16 hingga 23 Mei ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia diundi bertemu Jepun dan Singapura dalam Kumpulan A divisyen premier acara regu.
  • Ketua jurulatih Ahmad Jais anggap undian seimbang dan tekankan konsistensi serta fokus satu perlawanan satu perlawanan.
  • Malaysia mahu meningkatkan prestasi selepas muncul naib juara edisi 2024.
  • India dan Myanmar tidak boleh dipandang mudah berikutan peningkatan prestasi semasa mereka.

Berdasarkan undian rasmi, skuad negara bakal berdepan Jepun dan Singapura dalam misi mempertahankan kejuaraan.

Kumpulan B pula menyaksikan Thailand diundi bersama Iran dan India, manakala Kumpulan C menghimpunkan Myanmar, Vietnam, China serta Indonesia. Kumpulan D terdiri daripada Filipina, Taiwan, Korea Selatan dan Brunei.

Bagi acara regu berpasukan, Malaysia yang muncul naib juara edisi 2024 diundi dalam Kumpulan B bersama India dan Myanmar, manakala juara bertahan Thailand mengetuai Kumpulan A bersama Filipina dan Vietnam.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun, menyifatkan undian itu sebagai seimbang, namun menuntut tahap konsistensi tinggi daripada barisan pemain.

“Jika dilihat pada undian, semua kumpulan agak seimbang. Namun, kami akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan kerana konsistensi amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Undian Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia.

Menurutnya, peningkatan prestasi pasukan menjadi keutamaan memandangkan Malaysia hadir sebagai naib juara edisi lalu.

“Kami mahu meningkatkan lagi prestasi pemain, lebih-lebih lagi dengan status sebagai naib juara sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa India dan Myanmar tidak boleh dipandang mudah berikutan peningkatan prestasi semasa kedua-dua pasukan berkenaan.

“Prestasi semasa mereka meningkat dengan ketara. Ini memberi isyarat kepada kami untuk membuat persiapan lebih awal agar tidak terlepas langkah,” katanya.

Sementara itu, bagi saingan divisyen premier acara kuadran yang julung kali diperkenalkan, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama India, Singapura dan Korea Selatan.

Kumpulan A menghimpunkan China, Brunei dan Myanmar, manakala Kumpulan B melibatkan Filipina, Taiwan serta Iran. Kumpulan D pula menyaksikan Jepun, Indonesia, Vietnam dan Thailand bersaing merebut slot ke peringkat seterusnya.