Messi tunjuk perkembangan positif, sedia beraksi pada perlawanan persahabatan

Foto AFP

TEXAS, 6 Jun -Pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengesahkan ketua pasukan, Lionel Messi, menunjukkan perkembangan positif susulan kecederaan hamstring dan dijangka membuat penampilan singkat dalam aksi persahabatan menjelang Piala Dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Emiliano Martinez patah jari manis kanan ketika pemanasan, direhatkan untuk kedua-dua perlawanan persahabatan namun dijangka cergas untuk aksi pembukaan.
  • Juan Musso akan menjadi penjaga gol utama menentang Honduras sementara Santiago Beltran dijangka menerima minit permainan.
  • Nahuel Molina dan Gonzalo Montiel diketepikan kerana koyakan otot; Agustin Giay dan Nicolas Capaldo dipanggil menggantikan.

Scaloni memaklumkan bintang Inter Miami itu sudah mula menyertai sebahagian sesi latihan kumpulan dan tidak lagi diasingkan.

Ia sekali gus memberi bayangan beliau bakal diturunkan sama ada pada aksi menentang Honduras atau pertemuan menentang Iceland pada Selasa.

Argentina dijadualkan menentang Honduras di College Station, disini pada Sabtu sebelum terbang ke Auburn, Alabama untuk berdepan Iceland bagi melengkapkan siri pemanas badan sebelum aksi pembukaan kejohanan menentang Algeria pada 16 Jun ini.

“Keadaan Leo (Messi) semakin baik dan ini memberi kelegaan kepada kami. Ada kemungkinan beliau akan beraksi beberapa minit dalam perlawanan persahabatan ini.

“Kita akan lihat sama ada pada perlawanan esok (menentang Honduras) atau perlawanan seterusnya,” kata Scaloni dalam sidang media di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, Scaloni mengakui barisan perubatan ‘Albiceleste’ sedang bekerja keras menguruskan senarai panjang pemain yang mengalami masalah kecergasan, bermula dengan Messi yang sebelum ini dilaporkan mengalami kekejangan otot hamstring kiri ketika beraksi bersama kelabnya.

Selain Messi, perhatian turut tertumpu kepada penjaga gol utama, Emiliano Martinez yang disahkan mengalami kecederaan patah jari manis tangan kanan ketika sesi memanaskan badan di pentas akhir Liga Europa.

Martinez direhatkan untuk kedua-dua aksi persahabatan ini namun dijangka cergas untuk aksi pembukaan menentang Algeria.

Ketiadaan Martinez menyaksikan penjaga gol Atletico Madrid, Juan Musso akan diturunkan sebagai kesebelasan utama menentang Honduras.

Manakala penjaga gol muda River Plate, Santiago Beltran, yang menerima panggilan sulung, dijangka diberikan minit permainan.

Krisis kecederaan Argentina turut melanda benteng pertahanan apabila gandingan bek kanan, Nahuel Molina dan Gonzalo Montiel diketepikan akibat koyakan otot, memaksa pengurusan memanggil Agustin Giay dan Nicolas Capaldo sebagai pengganti.

Sementara itu, pemain pertahanan tengah, Cristian Romero sudah kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan ligamen lutut sejak April lepas.

Namun Scaloni masih menilai tahap kecergasan perlawanan pemain berkenaan sebelum membuat keputusan untuk menurunkannya.

Beberapa tonggak lain seperti Nicolas Paz (kecederaan lutut), Leandro Paredes dan Julian Alvarez turut tiba di kem latihan di Kansas dengan isu fizikal dan dilaporkan tidak akan diturunkan menentang Honduras.

“Situasi semakin pulih, namun kami tidak mahu mengambil risiko dalam perlawanan ini (menentang Honduras). Bagi perlawanan kedua (menentang Iceland), mungkin ada peluang untuk salah seorang daripada mereka beraksi.

“Minggu hadapan akan mendedahkan kedudukan sebenar pasukan kami sebelum kempen bermula. Setakat ini segalanya berjalan lancar,” tambah Scaloni.

Argentina yang diletakkan sebagai antara pasukan pilihan kejohanan akan memulakan pemburuan mempertahankan trofi Piala Dunia menentang Algeria di Kansas City. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.