Merino bawa Sepanyol ke suku akhir, tamatkan karier Piala Dunia Ronaldo

Mikel Merino menjadi wira Sepanyol selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan. Foto/AFP

TEXAS, 7 JULAI – Sepanyol mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir dengan menundukkan Portugal 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Dallas awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mikel Merino, pemain gantian, menjaringkan gol pada waktu kecederaan menerusi rembatan selepas hantaran Ferran Torres, memecahkan kebuntuan.
  • Cristiano Ronaldo, 41, mengesahkan edisi Piala Dunia ini merupakan penampilan antarabangsa terakhirnya.
  • Jurulatih Portugal Roberto Martinez membuat beberapa pertukaran babak kedua tetapi mengekalkan Ronaldo sehingga tamat perlawanan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain gantian, Mikel Merino pada waktu kecederaan babak kedua perlawanan menerusi rembatan kencang selepas menerima hantaran penyerang Ferran Torres, sekali gus memecahkan kebuntuan ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan.

Perlawanan tersebut juga merupakan aksi terakhir ketua pasukan, Cristiano Ronaldo di pentas antarabangsa.

Ini selepas penyerang berusia 41 tahun mengesahkan edisi Piala Dunia kali ini merupakan penampilan terakhirnya di pentas bola sepak paling berprestij dunia.

Terdahulu pada aksi di hadapan 70,649 penonton itu, Sepanyol hampir mendahului seawal minit ke-10 menerusi percubaan penyerang Mikel Oyarzabal, namun percubaannya tersasar meskipun berjaya melepasi benteng pertahanan lawan.

Ronaldo kemudian menguji penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, menerusi rembatan dari sudut sempit, namun percubaannya gagal menerjah ke gawang gol.

Portugal hampir membuka jaringan sebelum waktu rehat babak pertama apabila tandukan Pedro Porro hampir menghasilkan gol sendiri.

Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua tetapi mengekalkan Ronaldo di atas padang sehingga tamat perlawanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.