Malaysia Masters 2026: Ameer tagih konsistensi anak buah

Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei diharap mempamerkan prestasi terbaik pada Malaysia Masters 2026 – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Jurulatih profesional kebangsaan, Ameer Amri Zainuddin, menaruh harapan tinggi agar anak buahnya dapat mengekalkan prestasi cemerlang menjelang kejohanan Malaysia Masters 2026 yang akan membuka tirainya esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan di Terbuka Thailand tingkatkan keyakinan pemain, terutama pasangan beregu Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei.
  • Pasangan ranking ke-7 belum ada keputusan memuaskan di laman sendiri; persiapan rapi diatur untuk pamer aksi lebih bertenaga.
  • Ameer tekankan fokus satu demi satu perlawanan dan harapan agar pemain kekal konsisten seperti di Thailand.
  • Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai cabaran sebagai pilihan utama; juara bertahan Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak dapat pertahankan gelaran kerana kecederaan.

Menurut Ameer, kejayaan dan aksi memberangsangkan di kejohanan Terbuka Thailand baru-baru ini telah memberikan lonjakan besar kepada tahap keyakinan pemain, terutamanya bagi pasangan beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani dan Goh Sze Fei.

Jurulatih profesional kebangsaan, Ameer Amri Zainuddin – Foto RTM

“Memang kita rasa kejohanan di Thailand itu dapat memberikan ‘boost’ kepada tahap keyakinan mereka ke arah yang lebih bagus.

“Untuk Izzuddin dan Sze Fei, kita sebelum ini belum mendapat keputusan yang benar-benar memuaskan di laman sendiri, jadi saya rasa dalam keadaan sekarang, ini adalah peluang terbaik buat
mereka,” katanya ketika ditemui selepas sesi menguji gelanggang, hari ini.

Menurutnya, persiapan rapi telah dilakukan bagi memastikan pasangan yang menghuni ranking ke-7 dunia itu mampu mempamerkan aksi yang lebih bertenaga di hadapan penyokong sendiri.

“Sudah tentu kalau boleh kita mahu mereka sampai ke podium atau ke perlawanan akhir. Namun, apa yang paling penting adalah fokus satu demi satu perlawanan dan saya harap mereka dapat konsisten dengan apa yang dilakukan di Thailand tempoh hari,” katanya.

Gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengetuai cabaran selaku beregu lelaki pilihan utama negara Kejohanan Malaysia Masters 2026 – Foto RTM

Malaysia akan diwakili sekurang-kurangnya tujuh beregu lelaki dalam undian utama minggu ini, dengan gandingan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengetuai cabaran selaku pilihan utama.

Bagaimanapun, juara bertahan Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak dapat turun mempertahankan gelaran mereka kali ini berikutan kecederaan yang dialami Wei Chong.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.