
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Mengambil pendekatan langkah demi langkah menjadi formula utama beregu lelaki nombor satu Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mendepani tekanan pada kejohanan Masters Malaysia 2026 di laman sendiri.
- Menumpukan pada mengekalkan corak permainan berkesan dan konsistensi, bukan bangga diri sebagai pilihan utama kejohanan.
- Menganggap keputusan positif lalu sebagai batu loncatan untuk terus konsisten dan berprestasi baik di hadapan penyokong sendiri.
- Akui saingan Super 500 sengit namun optimis barisan pemain negara berpeluang tinggi mencapai pertembungan sesama sendiri di final.
Enggan mendabik dada dengan reputasi selaku pilihan utama kejohanan, gandingan itu sebaliknya mahu menumpukan perhatian mengekalkan corak permainan berkesan yang telah dipamerkan mereka sepanjang tahun ini bagi memastikan buruan gelaran juara berada di landasan tepat.
Wooi Yik menyifatkan kejayaan serta keputusan positif yang diraih pada edisi-edisi sebelum ini sebagai batu loncatan terbaik untuk mereka terus konsisten, selain mahu menterjemahkan prestasi membanggakan di hadapan penyokong sendiri.
“Kami mengambil pendekatan langkah demi langkah. Berdasarkan keputusan yang baik sebelum ini, kami mahu mengekalkan momentum tersebut dan meneruskan apa yang telah kami lakukan dengan berkesan sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi menguji gelanggang, hari ini.
Dalam pada itu, Aaron mengakui cabaran dalam kejohanan berstatus Super 500 itu tidak boleh dipandang mudah memandangkan setiap pasangan yang hadir mempunyai standard permainan yang tinggi dan berkualiti.
Bagaimanapun, beliau optimis mengenai kualiti barisan pemain negara yang dilihat mempunyai peluang cukup besar untuk menguasai pentas akhir, sekali gus mencetuskan mencetuskan pertembungan sesama sendiri atau ‘All Malaysian Final’ dalam kategori beregu lelaki.
“Peluang untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri di pentas akhir itu ada dan saya rasa peluangnya cukup tinggi kerana kita mempunyai banyak pasangan yang kompetitif kali ini,” jelas beliau.
Pasangan pilihan pertama kejohanan itu bakal memulakan cabaran menentang beregu ranking ke-41 dunia dari Singapura, Eng Keat Wesley Koh-Junsuke Kubo, esok.