Sandar kepercayaan Herry Iman, Arif-Roy King mahu lebih berani beraksi

Pemain beregu negara, Arif Junaidi dan Yap Roy King ketika sesi menguji gelanggang / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Beregu lelaki negara, Arif Junaidi dan Yap Roy King bertekad untuk memberikan aksi paling mantap menjelang saingan Masters Malaysia 2026 yang membuka tirai esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pesanan Ketua jurulatih Herry Iman jadi tonik; mereka mahu padamkan rasa gugup agar berani cuba dalam kejohanan.
  • Arif kongsi perkembangan kecergasan: koyakan meniskus tidak serius, MRI dan doktor sahkan pemulihan berjalan pantas.
  • Yap Roy King optimis; keyakinan berada pada paras tertinggi selepas pendedahan siri kejohanan, membantu perbaiki rentak permainan.

Menganggap pesanan Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi sebagai tonik berharga, gandingan ke-16 dunia itu mahu memadamkan perasaan gugup bagi memastikan momentum terbaik dapat dipamerkan di hadapan penyokong sendiri.

“Kami berharap apa yang dilakukan ketika latihan dapat dibuktikan minggu ini. Seperti yang dinyatakan jurulatih, mungkin semasa latihan kami berani mencuba, tetapi perasaan takut itu kadangkala muncul dalam kejohanan.

“Jadi, kami mahu perbaiki aspek tersebut,” katanya selepas sesi menguji gelanggang di Unifi Arena, hari ini.

Pada masa yang sama, Arif turut berkongsi perkembangan positif mengenai tahap kecergasannya yang sebelum ini dilaporkan terganggu akibat kecederaan lutut.

“Saya sebelum ini mengalami koyakan meniskus, namun hasil pemeriksaan MRI dan rundingan bersama doktor mengesahkan ia tidak terlalu serius dan proses pemulihan berjalan dengan pantas,” katanya lagi.

Sementara itu, Yap Roy King pula optimis tahap keyakinan mereka kini berada pada paras tertinggi, dipacu oleh pendedahan dalam beberapa siri kejohanan terdahulu yang banyak membantu mereka mendapat rentak permainan yang lebih baik.

Gandingan negara itu dijadualkan membuka tirai saingan pusingan pertama esok dengan menentang wakil Taiwan, He Zhi-wei dan Huang Jui-hsuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.