
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, memilih untuk mengunci mulut daripada mengulas lanjut mengenai isu disiplin yang sedang melanda dirinya.
- Cadangan Pengarah Kejurulatihan Kenneth Jonassen untuk menyingkirkan Jun Hao atas isu disiplin, kata Datuk Seri Lee Chong Wei.
- Isu disiplin termasuk kekurangan fokus dan kerap tidak hadir sesi latihan disebut sebagai alasan cadangan penyingkiran.
- Jun Hao mengakui pernah terlepas sesi latihan kerana masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan.
- Beliau ambil pendekatan satu perlawanan demi satu untuk buktikan kemampuan dan pertahankan tempat dalam skuad elit.
Beliau sebaliknya mahu memberikan fokus terhadap saingan Masters Malaysia 2026 yang bakal bermula esok.
Pemain yang menghuni ranking ke-36 dunia itu menegaskan beliau enggan membiarkan kenyataan terbuka Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjejaskan persiapannya.
“Buat masa ini, saya tiada komen lanjut mengenai perkara itu. Fokus saya kini hanyalah kepada kejohanan dan berusaha melakukan yang terbaik di gelanggang,” katanya ketika ditemui selepas sesi menguji gelanggang, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Lee Chong Wei, mendedahkan bahawa Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen, pernah mencadangkan agar pemain berusia 27 tahun itu disingkirkan ekoran masalah disiplin, termasuk kegagalan memberikan fokus sepenuhnya serta tidak menghadirkan diri ke sesi latihan.
Mengulas mengenai dakwaan berkenaan, Jun Hao mengakui bahawa beliau pernah terlepas sesi latihan sebelum ini, namun menjelaskan ia berpunca daripada masalah peribadi yang tidak dapat dielakkan.
“Memang saya ada terlepas latihan sebelum ini disebabkan sebab-sebab tertentu, iaitu masalah peribadi,” jelasnya ringkas.
Walau bagaimanapun, juara remaja Asia itu enggan menjadikan kemelut berkenaan sebagai gangguan terhadap persiapannya, malah optimis mampu menggalas tanggungjawab di hadapan penyokong sendiri.
“Saya akan tetap fokus dan hanya mahu memandang ke hadapan. Sasaran saya seperti biasa, iaitu mengambil pendekatan satu demi satu perlawanan,” katanya lagi
Kejohanan Masters Malaysia 2026 disifatkan sebagai medan penting buat Jun Hao untuk membuktikan keupayaan sebenarnya, sekali gus mempertahankan tempatnya dalam skuad elit badminton negara.