Malaysia tidak boleh pandang mudah Myanmar

Regu berpasukan negara tidak boleh pandang mudah cabaran Myanmar menjelang aksi penentuan juara Kumpulan B esok – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Pasukan sepak takraw negara diingatkan agar tidak memandang mudah cabaran Myanmar menjelang aksi penentuan juara Kumpulan B acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, malam esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurus Datuk Abu Jimi ingatkan Myanmar masih mampu beri saingan sengit walau rekod Malaysia baik.
  • Malaysia menang 3-0 ke atas India; mahu kutip mata maksimum untuk elak komplikasi dalam kelayakan.
  • Tekong Mohammad Syahir belum capai prestasi sebenar; servisnya kerap keluar dan perlu diperkemaskan.

Pengurus pasukan negara, Datuk Abu Jimi Samat berkata, Myanmar tetap memiliki kemampuan memberi saingan sengit meskipun Malaysia mempunyai rekod baik ke atas pasukan itu sebelum ini.

Pengurus pasukan sepak takraw negara, Datuk Abu Jimi Samat – RTM

“Kita tahu Myanmar mampu memberi tentangan kuat khususnya kepada regu negara sebelum ini, malah mereka juga pernah mencabar Thailand dalam beberapa kejohanan terdahulu. Jadi Malaysia tidak boleh ambil mudah perlawanan esok.

“Sebab itu ketika menentang India tadi, kita bukan sekadar mahu menang, tetapi mahu kutip mata sebanyak mungkin. Kita bimbang kalau berlaku situasi India pula menewaskan Myanmar, ia boleh menyulitkan kedudukan kita untuk mara ke suku akhir,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Malaysia menentang India hari ini.

Regu berpasukan Malaysia mudah menumpaskan India dengan keputusan 3-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B – RTM

Terdahulu, dalam aksi berkenaan Malaysia mudah menumpaskan India dengan keputusan 3-0.

Sementara itu, mengulas prestasi keseluruhan pemain, Datuk Abu Jimi mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperkemaskan terutama melibatkan servis tekong regu kedua, Mohammad Syahir Mohd Rosdi.

Regu kedua dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam – RTM

“Hanya Syahir saya lihat masih belum mencapai prestasi sebenar, tetapi banyak perubahan positif berbanding perlawanan sebelum ini. Kita akan beri tumpuan kepada servis dia supaya lebih konsisten.

“Kalau ikut kiraan tadi, dalam set kedua sahaja ada beberapa servis keluar dan sangkut. Jumlah itu agak tinggi kerana secara tidak langsung kita menghadiahkan mata mudah kepada lawan,” katanya.

Tekong negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi (kiri) dilihat masih belum mencapai prestasi sebenar – RTM

Bagaimanapun beliau berpuas hati dengan aspek lain termasuk kawalan gelanggang pemain yang disifatkan berada pada tahap baik.

“Tidak banyak perkara yang perlu diperbetulkan. Insya-Allah menjelang aksi menentang Myanmar esok, pemain-pemain dapat atasi masalah tersebut,” katanya.

Malaysia dijadual menentang Myanmar bagi menentukan juara Kumpulan B, dengan hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.