Malaysia Masters 2026: Sze Fei-Izzuddin mara ke pusingan kedua

Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani memulakan kempen Malaysia Masters 2026 dengan langkah positif selepas menyingkirkan pasangan Indonesia, Muhammad Putra Erwiansyah-Bagas Maulana, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasangan pilihan ketiga menang pusingan pertama 21-16, 21-14.
  • Kemenangan mengesahkan kemaraan mereka ke kelompok 16 terbaik.
  • Set pertama bermula perlahan; pengalaman dan ketenangan membolehkan mereka mengawal permainan.
  • Seterusnya mereka akan menentang rakan senegara Teo Ee Yi-Chia Weijie untuk rebut tempat seterusnya.

Dalam aksi pusingan pertama di Unifi Arena itu menyaksikan pasangan pilihan ketiga kejohanan itu mempamerkan permainan konsisten untuk mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-14.

Kejayaan itu sekaligus mengesahkan kemaraan mereka ke kelompok 16 terbaik.

Walaupun bermula sedikit perlahan pada set pertama dengan kedua-dua pasangan saling mengejar mata, pengalaman dan ketenangan dimiliki Sze Fei-Izzuddin membolehkan mereka mengawal permainan sebelum menutup set pertama 21-16.

Momentum cemerlang itu diteruskan pada set kedua apabila beregu negara tampil lebih agresif dan berjaya mendominasi permainan menerusi kombinasi serangan pantas serta pertahanan kemas.

Aksi lebih meyakinkan akhirnya memastikan kemenangan 21-14 sekali gus mengesahkan slot ke pusingan seterusnya.

Sze Fei menyifatkan perlawanan tersebut bukan mudah untuk mereka mengesahkan kemaraan.

“Saya tidak fikir itu perlawanan yang mudah tadi. Mereka memberikan banyak cabaran kepada kami dan kami perlu bangkit untuk mengatasinya,” katanya.

Selepas ini, Sze Fei-Nur Izzuddin bakal menentang rakan senegara, Teo Ee Yi-Chia Weijie bagi merebut tempat ke peringkat seterusnya.

Sementara itu, Ee Yi-Weijie turut mengesahkan kemaraan selepas menewaskan pasangan Kanada, Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman dengan keputusan 21-18, 21-15.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.