Malaysia julang trofi pertama Piala Dunia Acara Kuadran

Foto Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Malaysia menjulang trofi sulung acara kuadran selepas ‘merejam’ India 2-0 pada aksi final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa di sini malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan Malaysia dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi.
  • Sokongan kira-kira 3,000 penonton di Stadium Titiwangsa memberi tonik tambahan kepada skuad.
  • Awal permainan goyah selepas beberapa kesilapan, termasuk servis Aidil Aiman yang beri India kelebihan 4-0.
  • Kedudukan ketat; Malaysia menang set pertama 17-15, set kedua 15-10 dan dinobat raja dunia acara kuadran.

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi menerima tonik tambahan hasil sokongan luar biasa kira-kira 3,000 penonton yang membanjiri stadium yang digelar Home of Sepak Takraw itu.

Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun bermula goyah pada awal set pertama apabila melakukan beberapa kesilapan, termasuk servis Aidil Aiman yang memberi kelebihan kepada India untuk mendahului sehingga 4-0, namun Malaysia bangkit menyamakan kedudukan 5-5.

Perlawanan semakin mendebarkan apabila pasukan pelawat terus melakukan beberapa rejaman kencang selain Malaysia turut membalas serangan sehingga mata terikat 15-15, sebelum kemenangan set pertama memihak kepada Malaysia 17-15.

Set kedua menyaksikan aksi penuh dramatik, namun skuad negara tampil lebih yakin dengan mendahului 10-7 untuk memberi tekanan kepada India yang diwakili Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh sebelum menang 15-10, sekali gus dinobatkan sebagai raja dunia acara kuadran pada kejuaraan berprestij itu.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.