Liverpool masih belum konsisten, Iraola akui masih banyak perlu diperbaiki

Foto REUTERS

LIVERPOOL, 10 Ogos – Pengendali Liverpool, Andoni Iraola mengakui pasukannya masih gagal mengekalkan tahap permainan konsisten selepas tewas 2-3 kepada Monaco dalam aksi persahabatan di Anfield, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Liverpool gagal mengekalkan intensiti permainan selepas separuh masa pertama, prestasi menurun hingga akhir perlawanan.
  • Keletihan selepas pertukaran pemain menyumbang kepada penurunan prestasi dan tidak mengekalkan tahap yang diinginkan.
  • Van Dijk, Alisson dan Gakpo kembali dari Piala Dunia masih belum cergas untuk bermain 90 minit; perlukan masa dan latihan.
  • Pemain baharu Jeremy Jacquet dijaga berhati-hati kerana pemulihan bahu dan lutut perlahan; dijangka sedia untuk perlawanan seterusnya.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool sekali lagi melepaskan kelebihan dua gol, selepas situasi sama ketika tunduk 2-4 kepada Leeds United sebelum ini.

Keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesiapsiagaan pasukan berkenaan menjelang aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle United pada 23 Ogos ini.

Ujar Iraola, pasukannya mempamerkan aksi cemerlang pada babak pertama, namun gagal mengekalkan intensiti permainan sehingga tamat perlawanan.

“Kami bermain sangat baik pada separuh masa pertama, terutamanya ketika 30 minit awal perlawanan.

Namun, kami masih belum mampu mengekalkan tahap permainan sebegitu sepanjang perlawanan,” katanya.

Menurutnya, faktor keletihan terutama selepas pertukaran pemain turut menyumbang kepada penurunan prestasi.

“Sebaik sahaja kami membuat beberapa pertukaran, pemain mula keletihan dan kami tidak mampu mengekalkan tahap yang diinginkan.

“Masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

Iraola turut menjelaskan ketua pasukan, Virgil van Dijk, penjaga gol, Alisson Becker dan penyerang Cody Gakpo masing-masing membuat penampilan pertama selepas berakhirnya Piala Dunia, namun belum mencapai tahap kecergasan optimum.

“Mereka belum mempunyai tenaga untuk bermain 90 minit penuh. Ia memerlukan masa dan lebih banyak latihan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Iraola berkata pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati terhadap pemain baharu, Jeremy Jacquet yang masih dalam proses pemulihan kecederaan bahu dan lutut.

“Kami membuat keputusan untuk tidak menurunkannya kali ini. Dia sepatutnya bersedia untuk perlawanan seterusnya walaupun pemulihannya sedikit lambat daripada jangkaan,” katanya. – REUTERS .

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.