
KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Sektor ekonomi kreatif terus diperkasa sebagai pemacu pertumbuhan utama dengan menggabungkan antara kraf tradisional dengan penyelesaian digital terkini bagi membuka pasaran baharu buat artisan serta usahawan tempatan di rantau ASEAN dan China.
- Integrasi kraf tradisional dengan teknologi memberi nilai tambah dan mengukuh rantaian bekalan seni warisan di peringkat serantau.
- Tekstil tradisional seperti batik, songket, ikat dan sutera diangkat ke tahap lebih tinggi menerusi pendekatan ekonomi kreatif.
- Program ACH-DNA 2.0 memperkasakan komuniti tempatan dan meletakkan warisan budaya sebagai tonggak ketahanan ekonomi jangka panjang.
- Inisiatif ini menghubungkan diplomasi budaya, memperkukuh hubungan dan semangat saling menghormati antara ASEAN dan China.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, integrasi ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada produk seni warisan, tetapi turut memperkukuh rantaian bekalan di peringkat serantau.
Jelas beliau, tekstil tradisional seperti batik, songket, ikat, sutera dan brocade (songket tenun) yang menjadi simbol identiti komuniti setempat berupaya diangkat ke tahap lebih tinggi menerusi pendekatan ekonomi kreatif.
“Dengan merapatkan jurang antara pertukangan tradisional dengan penyelesaian digital termaju, kita membuka pasaran baharu yang dinamik untuk usahawan dan artisan tempatan, memperkukuh rantaian bekalan serantau, serta meletakkan ASEAN dan China sebagai pemaju global dalam inovasi berteraskan kebudayaan,” katanya pada Majlis Pembukaan Program ACH-DNA 2.0 di sini, hari ini.
Menurut beliau, program ACH-DNA 2.0 turut memperkasakan komuniti tempatan dan meletakkan warisan budaya sebagai tonggak asas ketahanan ekonomi jangka panjang.
Selain itu, ia bertindak sebagai penghubung penting diplomasi budaya dalam memperkukuh hubungan serta semangat saling hormat-menghormati yang telah terjalin selama berabad-abad antara ASEAN dengan China.
Program anjuran MOTAC dengan sokongan Society of Creative Symphony serta rakan-rakan strategik itu mengumpulkan wakil negara anggota ASEAN, pakar industri dan institusi akademik bagi merangka strategi pemeliharaan warisan seni rantau ini.