
SURABAYA, 10 Ogos- Kebakaran di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, Jawa Timur, Indonesia memasuki hari kelapan dengan lebih 500 hektar kawasan musnah, manakala api kini merebak ke arah penempatan penduduk.
- Dua helikopter pengebom air, jentera bomba dan dron penyembur air dikerahkan bersama renjer dan tentera.
- Taman Negara Bromo Tengger Semeru ditutup kepada orang ramai susulan kebakaran.
- BMKG meramalkan musim kering panjang dengan risiko kebakaran tinggi; lebih 107,000 hektar terbakar separuh pertama tahun ini.
Pegawai Agensi Mitigasi Bencana Jawa Timur, Satriyo Nurseno berkata kebakaran merebak ke kawasan penempatan di Lembah Dingklik dalam taman negara berkenaan.
Dua helikopter pengebom air, beberapa jentera bomba dan dron dilengkapi sistem penyembur air dikerahkan bagi membantu renjer hutan serta anggota tentera memadam kebakaran.
Kebakaran itu menyebabkan Taman Negara Bromo Tengger Semeru, antara destinasi pelancongan popular Indonesia, ditutup kepada orang ramai.
Kawasan yang musnah dianggarkan bersamaan lebih 700 padang bola sepak.
Menteri Perhutanan Indonesia, Raja Juli Antoni pada Ahad berkata operasi pembenihan awan bagi menghasilkan hujan di kawasan Bromo tidak dapat dilaksanakan untuk beberapa hari berikutan kekurangan awan.
Operasi pembenihan awan melibatkan penyemburan zarah seperti iodida perak dan garam ke dalam awan menggunakan pesawat bagi menghasilkan hujan.
Pada 2023, lebih 500 hektar kawasan di Gunung Bromo musnah akibat kebakaran selepas sepasang bakal pengantin menyalakan suar ketika sesi fotografi praperkahwinan.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) meramalkan Indonesia akan mengalami musim kering yang panjang dan sengit tahun ini, dengan risiko kemarau serta kebakaran hutan yang tinggi, sebahagiannya disebabkan fenomena El Nino.
Pada separuh pertama tahun ini, lebih 107,000 hektar kawasan terbakar di seluruh Indonesia, iaitu lebih dua kali ganda keluasan kawasan yang musnah akibat kebakaran hutan pada 2023. -AFP