
JOHANNESBURG, 10 Ogos – Malawi, melakar kejutan apabila bangkit menewaskan Ghana, 2-1 sekali gus mara ke separuh akhir Piala Negara Afrika Wanita (WAFCON) dan menempah tiket ke Piala Dunia Wanita FIFA 2027.
- Ghana membuka jaringan awal melalui Chantelle Boye-Hlorkah pada minit ketujuh.
- Temwa Chawinga menyamakan kedudukan selepas rembatan terkena pemain pertahanan; Rose Kadzere menjaringkan gol penentu pada minit ke-79.
- Separuh akhir: Malawi berdepan Algeria di Casablanca, manakala Maghribi menentang Cameroon di Rabat.
Malawi ketinggalan seawal minit ketujuh apabila Chantelle Boye-Hlorkah menjaringkan gol pembukaan untuk membawa Ghana di hadapan.
Namun, Malawi menyamakan kedudukan lima minit kemudian selepas rembatan Temwa Chawinga terkena pemain pertahanan sebelum menerjah gawang.
Pada minit ke-79, Rose Kadzere meluru masuk ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Ghana, Cynthia Konlan.
Ghana yang tertekan cuba meningkatkan asakan pada penghujung perlawanan, namun gagal mencipta peluang untuk menyamakan kedudukan.
Dalam aksi separuh akhir pada Rabu, Malawi akan berdepan Algeria di Casablanca, manakala tuan rumah, Maghribi menentang Cameroon di Rabat.
Setakat ini, tiada satu pun daripada empat pasukan tersebut pernah menjuarai WAFCON.
Walaupun Malawi dilihat sebagai pasukan bukan pilihan, namun pasukan yang menduduki ranking ke-153 dunia itu mengejutkan juara 10 kali WAFCON, Nigeria dalam perlawanan pertama, sebelum menewaskan Mesir pada penampilan julung kali mereka dalam kejohanan bola sepak wanita Afrika itu.
Meski tunduk kepada Zambia, keputusan itu tidak menghalang Malawi muncul juara peringkat kumpulan dengan kelebihan jumlah gol.
Keempat-empat pasukan yang mara ke separuh akhir secara automatik menempah slot ke Piala Dunia 2027 di Brazil.
Sementara itu, pasukan yang tewas di suku akhir masih berpeluang ke Piala Dunia menerusi pusingan playoff Afrika dan antara benua. – AFP