
WASHINGTON, 10 Ogos – Michael Brennan memenangi Wyndham Championship dengan catatan 6 bawah par 64 di pusingan akhir menewaskan Beau Hossler dengan kelebihan tiga pukulan untuk meraih gelaran Jelajah PGA kedua dalam kerjayanya.
- Brennan menamatkan kejohanan dengan putt birdie 13 kaki di lubang ke-18, menamatkan keseluruhan 22 bawah par 258.
- Brennan membawa pulang AS$1.53 juta daripada jumlah hadiah AS$8.5 juta dan pernah memenangi Bank of Utah Championship.
- Brennan mengambil alih penguasaan selepas lima birdie berturut-turut, bermula dengan putt birdie lapan kaki di lubang keempat.
- Hossler melakukan birdie di lubang ke-16 dan ke-17, merapatkan jurang, namun putt birdie Brennan di lubang terakhir menentu kemenangan.
Pemain Amerika Syarikat berusia 24 tahun itu menutup saingan dengan putt birdie sejauh 13 kaki di lubang ke-18 untuk menamatkan kejohanan dengan catatan keseluruhan 22 bawah par 258.
Brennan, yang meraih gelaran PGA pertamanya dalam Bank of Utah Championship, Oktober tahun lepas, membawa pulang AS$1.53 juta dolar daripada jumlah hadiah keseluruhan AS$8.5 juta dolar yang ditawarkan di Sedgefield Country Club, Greensboro, North Carolina.
Brennan mengambil alih penguasaan kejohanan selepas melakukan lima birdie berturut-turut pada Ahad, bermula dengan putt birdie sejauh lapan kaki di lubang keempat.
Rentetan itu turut menyaksikan beliau melakukan birdie di lubang ketujuh par tiga, selepas hanya terlepas peluang melakukan ace sebanyak enam inci.
Beliau kemudian melakukan bogey di lubang ke-11 selepas pukulan tee tersasar ke kawasan rough di sebelah kanan, namun berjaya menyelamatkan par menerusi putt lima kaki yang mencabar di lubang ke-12 par tiga sebelum membalas dengan birdie melalui putt sejauh lapan kaki di lubang ke-13.
“Saya beraksi dengan sangat baik untuk sembilan lubang pertama.
“Saya mula berasa sedikit gementar di lubang ke-10 dan ke-11. Saya berjaya melakukan putt yang baik di lubang ke-12 dan ia membantu menenangkan saya sedikit. Selepas itu, saya cuma gembira kerana berjaya menghasilkan beberapa putt ketika menuju ke penghujung permainan,” kata Brennan.
Sementara itu, Hossler melakukan birdie di lubang ke-16 dan ke-17 untuk merapatkan jurang kepada dua pukulan ketika menuju ke tee terakhir, sekali gus membuka laluan kepada Brennan melakukan birdie sebagai penentu kemenangan. – AFP