
TORONTO, 10 Ogos – Pemain nombor dua dunia, Elena Rybakina terpaksa bekerja keras untuk mara ke suku akhir WTA Toronto Masters pada Ahad.
- Rybakina bangkit untuk menewaskan Liudmila Samsonova dan mara ke suku akhir Terbuka Kanada.
- Naomi Osaka menyingkirkan Leylah Fernandez dan akan berdepan Rybakina di suku akhir.
- Coco Gauff menewaskan Alina Korneeva, mara ke suku akhir dan akan berdepan Belinda Bencic.
Pemain Kazakhstan itu bangkit dari ketinggalan 0-3 dan dua break dalam set penentuan sebelum menewaskan Liudmila Samsonova, 6-4, 4-6, 6-4.
Rybakina seterusnya akan berdepan juara Grand Slam empat kali, Naomi Osaka di suku akhir selepas pemain Jepun itu menyingkirkan wakil tuan rumah, Leylah Fernandez, 6-4, 6-4.
Sementara itu, pemain Amerika Syarikat, Coco Gauff turut melangkah ke suku akhir selepas mudah menundukkan seorang lagi pemain Rusia, Alina Korneeva, 6-3, 6-1.
Gauff, pemain nombor empat dunia itu melangkah ke kelompok lapan terbaik di Kanada buat kali pertama sejak 2023.
Beliau akan menentang pemain pilihan ke-12 dari Switzerland, Belinda Bencic yang mengetepikan juara WTA Washington minggu lalu, Alexandra Eala dari Filipina, 6-4, 6-0.
“Fokus utama saya hari ini adalah memastikan saya dapat menamatkannya,” kata Gauff.
“Ia mungkin tidak seperti yang saya fikirkan namun ia menjadi.
“Saya bangga dengan prestasi dalam tiga perlawanan terakhir dan tahu bahawa jika perlu beraksi sehingga ke penghujung, saya sudah bersedia. Namun, sudah tentu saya lebih suka menamatkan perlawanan lebih awal jika mampu,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Osaka melakukan break pada permainan ketujuh dalam setiap set untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam tempoh 82 minit.
“Secara keseluruhannya, semuanya berjalan dengan baik untuk saya,” kata pemain ranking ke-13 dunia itu.
Ini adalah pertemuan pertama bintang Jepun berkenaan dengan Rybakina. – AFP