
CHERAS, 10 Ogos – Penyertaan 121 pelumba dari 15 buah negara termasuk juara dunia IAME dari Sepanyol, Aaron Garcia dalam pusingan 5 Infinity IAME Siri Asia 2026 di Litar Antarabangsa LYL Karting membuktikan Malaysia mampu menjadi pentas persaingan karting bertaraf dunia.
- Edisi ini antara yang terbesar pernah dianjurkan Infinity IAME Series Asia, menurut Pengarah Eksekutif Daniel Ling.
- Toby Gale juara kategori Senior, Dilan Tan naib juara; Travis Teoh beri saingan sengit menunjukkan peningkatan pemandu tempatan.
- Program Kinex Rising Stars fokus pembangunan akar umbi dengan kos mampu milik, disokong KBS dan Tourism Malaysia untuk melahirkan bakat masa depan.
Pengarah Eksekutif Infinity IAME Series Asia, Daniel Ling, menyifatkan edisi kali ini sebagai antara yang terbesar pernah dianjurkan pihaknya.
“Ini adalah perlumbaan terbesar buat kami setakat ini dan saya percaya ia juga adalah kejuaraan karting terbesar yang pernah dianjurkan di Malaysia.
“Apabila kita mempunyai juara dunia seperti Aaron Garcia, ia memberi peluang kepada pelumba lain untuk menguji kemampuan serta mengukur tahap prestasi mereka berdepan pesaing terbaik dunia,” katanya ketika ditemui pada kejohanan tersebut di sini.
Dalam saingan kategori Senior, pelumba Thailand, Toby Gale, cemerlang mengungguli podium pertama, diikuti Dilan Tan dari Singapura di tempat kedua, manakala Garcia terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga.
Keupayaan pelumba tempatan turut mencuri tumpuan apabila bekas juara Malaysia, Travis Teoh, berjaya memberikan saingan sengit kepada Garcia dalam perlumbaan saringan, sekali gus memberi isyarat positif terhadap peningkatan kualiti pemandu negara.
Sementara itu, bagi memastikan kesinambungan bakat, Daniel berkata pihaknya kini memberikan tumpuan kepada pembangunan akar umbi menerusi program Kinex Rising Stars.
Program tersebut bertujuan memberi ruang kepada peminat karting riadah untuk beralih ke peringkat kompetitif dengan kos yang lebih mampu milik.
Inisiatif pembangunan ini turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia dalam usaha memperluas pencarian bakat baharu yang mampu melangkah ke peringkat Formula dan GT pada masa hadapan.
Malaysia sebelum ini telah melahirkan ramai bakat besar seperti Katrina Ee, Putra Adam dan Melvin Moh yang memulakan langkah awal mereka melalui sukan karting sebelum berjaya di pentas antarabangsa.