Guna logo JIM pada kenderaan: Lelaki Pakistan dicekup

Foto JIM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warganegara Pakistan susulan tular sebuah kenderaan menggunakan logo rasmi jabatan itu secara tidak sah di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Khas dijalankan pada 9 Ogos di sekitar Setapak dan Jalan Kuching.
  • Sebuah Toyota Hilux dikesan memaparkan logo JIM dan lampu mata arah, dipercayai dipandu warga asing.
  • Seorang wanita warga Indonesia ditemui tinggal lebih masa di negara ini; dua pasport Indonesia turut ditemui.
  • Lapan lagi individu ditahan, terdiri empat Bangladesh, tiga Pakistan dan seorang India, disyaki pekerja premis cuci kenderaan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan memaklumkan, tangkapan dibuat menerusi Operasi Khas yang dijalankan pada 9 Ogos di sekitar Setapak dan Jalan Kuching, di sini.

Operasi tersebut dilancarkan selepas pihaknya mengesan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 yang memaparkan logo JIM serta dilengkapi lampu mata arah, dipercayai dipandu oleh warga asing.

“Hasil pemeriksaan lanjut di premis terlibat turut menemukan seorang wanita warganegara Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di negara ini.

“Selain itu, dua naskhah pasport milik warga Indonesia yang dipercayai milik individu lain turut ditemui dalam simpanan lelaki warga Pakistan terbabit,” katanya.

Menurut beliau, lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 serta Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita Indonesia itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Dalam operasi berkenaan, pihak JIM turut menahan lapan lagi individu terdiri daripada empat warga Bangladesh, tiga warga Pakistan dan seorang warga India yang dipercayai pekerja di sebuah premis cuci kenderaan.

Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

JIM menegaskan akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan identiti jabatan serta kehadiran warga asing tanpa izin di negara ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.