Tiga lelaki Rohingya ditahan bantu siasatan rogol wanita OKU

Gambar hiasan

KEMAMAN, 9 Ogos – Tiga buruh etnik Rohingya direman lima hari bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) berusia 23 tahun di Kemaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis membuka siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan selepas laporan dibuat oleh seorang wanita berusia 20 tahun.
  • Kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 11 malam pada 5 Ogos di sebuah rumah di Kampung Besut, Chukai.
  • Polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi atau bertindak sendiri. Maklumat boleh disalurkan ke IPD Kemaman: 09-8592222.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, suspek berusia antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan kira-kira 8 malam semalam di sebuah rumah di Kampung Besut, dekat Bandar Chukai.

Katanya, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 20 tahun kelmarin sebelum siasatan dibuka mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu kira-kira 11 malam, 5 Ogos lalu, di sebuah rumah di Kampung Besut, Chukai,” katanya.

Mohd Razi berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk kemungkinan terdapat suspek lain yang turut terbabit.

Beliau meminta semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas berhubung kes berkenaan.

Terdahulu, lebih 30 penduduk berkumpul di kawasan rumah pangsa Kampung Enjin Gergaji, Chukai kira-kira 8.30 malam semalam selepas dakwaan kejadian itu tular di media sosial.

Bagaimanapun, penduduk bersurai tidak lama kemudian selepas diminta berbuat demikian oleh polis.

Mohd Razi turut menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga Rohingya kerana perbuatan sedemikian melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-8592222.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.