Liga Super: Melaka kejutkan Sabah 1-0, perbaiki kedudukan liga

Pemain Sabah FC, Fergus Tierney (tengah) diasak pemain Melaka FC, V. Ruventhiran (kiri) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat/Foto BERNAMA

MELAKA, 23 April – Hasrat Sabah FC mencatatkan satu lagi kemenangan selepas menjulang Piala Cabaran empat hari lepas tidak kesampaian, apabila tewas 0-1 dalam aksi menentang Melaka FC malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dino Kalesic jaringkan gol tunggal pada minit ke-68 untuk Melaka.
  • Kemenangan bawa Melaka ke tangga ke-10; Sabah turun ke tangga ke-11.
  • Perlawanan berjalan berhati-hati; Sabah asak akhir permainan namun gagal mencari gol penyamaan.

Gol tunggal perlawanan di Stadium Hang Jebat, Krubong itu dijaringkan Dino Kalesic pada minit ke-68 selepas kedua pasukan cuba menguasai perlawanan sejak awal perlawanan.

Buat Melaka FC, kemenangan itu amat bermakna ketika aksi Liga Super berbaki empat perlawanan lagi bagi mengelakkan pasukan terus menduduki dua anak tangga tercorot.

Kemenangan tipis itu membantu skuad bimbingan jurulatih E. Elavarasan berada pada tangga ke-10, mengambil kedudukan Sabah yang turun ke tangga ke-11 ekoran kekalahan tersebut.

Pada aksi tersebut kedua-dua pasukan dilihat selesa menggunakan corak permainan berhati-hati.

Bagaimanapun Sabah mencemaskan tuan rumah apabila pemainnya Ernesto Amantegui pada minit ke-10 melakukan rembatan, namun tersasar.

Pelawat terus menguasai apabila penyerangnya Chris Marlon melakukan cubaan, namun hampa apabila rembatan kencangnya ditepis keluar penjaga gol Melaka FC Samuel Jacob pada minit ke-33.

Menuju akhir perlawanan, anak didik jurulatih Elavarasan dilihat lebih banyak bertahan dengan serangan bertali arus dipamerkan Sabah FC yang cuba mencari gol.

Namun pada minit ke-58 tuan rumah hampir-hampir memecah kebuntuan jaringan gol namun sepakan pemain importnya Dino Kalesic sekadar ke dakapan penjaga gol Melaka Damien Chien Khai Lim.

Sabah juga turut hampa apabila sepakan kencang pemain gantian Fergus Tierney sekadar melewati tiang gol sebelah kanan, pada ketika penjaga gol Melaka FC sudah tertewas pada minit ke-65.

Sabah terus mengandakan asakan untuk mencari gol penyamaan, namun hampa hingga ke wisel penamat dengan keputusan 1-0. – BERNAMA