
FLORENCE, 17 April-Kelab Liga Perdana Inggeris, Crystal Palace mengesahkan tempat ke separuh akhir Liga Konferensi UEFA buat julung kalinya selepas menewaskan Fiorentina dengan agregat 4-2, meskipun tunduk 2-1 pada aksi suku akhir kedua di sini, semalam.
- Ismaila Sarr membuka jaringan dengan tandukan padu pada minit ke-17, gol ketujuhnya dalam kejohanan.
- Fiorentina bangkit melalui penalti Albert Gudmundsson dan rembatan jarak jauh Cher Ndour pada minit ke-55.
- Palace akan berdepan Shakhtar Donetsk di separuh akhir selepas lawan Ukraine itu menyingkirkan AZ Alkmaar 5-2.
- Adam Wharton dan Maxence Lacroix dikeluarkan pada separuh masa pertama akibat kecederaan.
Skuad kendalian Oliver Glasner itu bakal berdepan kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk, selepas lawan mereka itu menyingkirkan AZ Alkmaar dengan agregat 5-2.
Dalam aksi di Stadium Artemio Franchi, Ismaila Sarr memberikan permulaan impian buat Palace menerusi tandukan padu pada minit ke-17, sekali gus mencatatkan gol ketujuhnya dalam kejohanan musim ini.
Bagaimanapun, Fiorentina bangkit merapatkan jurang agregat menerusi sepakan penalti Albert Gudmundsson sebelum Cher Ndour menghidupkan sisa perjuangan tuan rumah dengan rembatan jarak jauh pada minit ke-55.
Kemenangan tipis Fiorentina itu gagal menyekat kemaraan kelab Liga Perdana Inggeris tersebut yang memenangi aksi perlawanan pertama 3-0 di London minggu lalu.
Ketua pasukan Palace, Dean Henderson, menyifatkan pencapaian ini sebagai satu lagi lembaran sejarah baharu buat kelab selepas memenangi Piala FA musim lalu.
“Ini sesuatu yang luar biasa bagi kelab ini, sangat sensasi apabila memikirkan kejayaan Piala FA musim lalu dan kini kami terus mencipta sejarah baharu di Eropah,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Kemenangan Palace bagaimanapun terpaksa dibayar mahal selepas dua tonggak utama, Adam Wharton dan Maxence Lacroix, terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama akibat kecederaan.
Sebelum perlawanan bermula, acara bertafakur selama seminit diadakan sebagai penghormatan kepada bekas penjaga gol Fiorentina, Alex Manninger, yang dilaporkan meninggal dunia pada usia 48 tahun akibat kemalangan ngeri di Austria.
Satu lagi aksi separuh akhir bakal menyaksikan pertembungan antara kelab Perancis, Strasbourg, yang akan menentang wakil Sepanyol, Rayo Vallecano. – AFP