
TEXAS, 15 Julai – Sepanyol mengesahkan tempat di pentas final Piala Dunia 2026 selepas berjaya menundukkan gergasi Eropah, Perancis, dengan keputusan 2-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Dallas, Arlington, di sini sebentar tadi.
- Mikel Oyarzabal menyempurnakan penalti pada minit ke-22 untuk membuka jaringan bagi Sepanyol.
- Pedro Porro menjaringkan gol cantik pada minit ke-58 untuk menggandakan kelebihan pasukan.
- Kejayaan itu meletakkan Sepanyol hampir melengkapkan koleksi dua trofi dunia selepas kemenangan 2010.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Luis de la Fuente selangkah lagi untuk menjulang trofi berprestij dunia itu buat kali kedua selepas kejayaan sulung mereka pada edisi 2010 di Afrika Selatan.
Perlawanan bermula sengit dengan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan, namun skuad La Roja mula memecah kebuntuan pada minit ke-22.
Sepanyol dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan kemudiannya disempurnakan oleh penyerang berbisa, Mikel Oyarzabal untuk meletakkan pasukannya di hadapan 1-0.
Tersentak dengan gol tersebut, Perancis yang diketuai Kylian Mbappe cuba bangkit memperkemas jentera serangan, namun kekukuhan benteng pertahanan Sepanyol sukar digugat sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sepanyol terus menggandakan asakan bagi mengukuhkan kedudukan. Usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-58 menerusi jaringan cantik Pedro Porro sekali gus memastikan kedudukan selesa 2-0 buat Sepanyol.
Meskipun ‘Les Bleus’ melakukan beberapa pertukaran pemain untuk memburu gol, keputusan kekal hingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menamatkan impian Perancis untuk mara ke final buat kali ketiga berturut-turut.
Sementara itu penyokong Sepanyol di Madrid meraikan kejayaan penuh gemilang selepas pasukan itu menewaskan Perancis 2-0 untuk mara ke final Piala Dunia.
Kejayaan itu meletakkan skuad La Roja hanya selangkah lagi untuk melengkapkan koleksi dua trofi terbesar bola sepak dunia selepas menjuarai saingan Eropah sebelum ini.
Sepanyol kini menanti lawan pada pentas akhir yang akan ditentukan selepas aksi separuh akhir antara England dan Argentina di Atlanta pada Rabu. Perlawanan akhir Piala Dunia akan berlangsung pada 20 Julai.