Konflik Asia Barat paksa MSBF susun semula perancangan Kejohanan

MSBF susun semula penyertaan / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Konflik yang semakin meruncing di Asia Barat memaksa Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) menyusun semula perancangan penyertaan atlet negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa kejohanan di luar negara, termasuk Arab Saudi, ditangguhkan atau diubah susulan situasi konflik.
  • MSBF perlu menilai semula program pertandingan kerana tempoh konflik masih belum dapat dipastikan.
  • Fokus sementara dialihkan kepada penyertaan kejohanan di rantau Asia dan Asia Tenggara.
  • Cabaran besar menjelang Sukan SEA 2027 kerana rekod tuan rumah tiada pingat emas, tekanan beraksi di laman sendiri.

Presiden MSBF, Melvin Chia berkata beberapa kejohanan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di luar negara, termasuk di Arab Saudi, terpaksa ditangguhkan atau diubah susulan situasi konflik di rantau berkenaan.

Menurut beliau, perkembangan tersebut menyebabkan badan induk itu perlu menilai semula program pertandingan atlet negara kerana tempoh konflik berkenaan masih belum dapat dipastikan.

“Untuk kejohanan tahun ini sebenarnya kita telah merancang beberapa penyertaan di luar negara. Namun, disebabkan konflik di Asia Barat yang baru bermula, banyak kejohanan yang dijadualkan berlangsung di rantau itu terpaksa ditangguhkan atau diubah.

“Jadi sekarang banyak perancangan perlu disusun semula kerana situasi tersebut, dan kita juga tidak pasti berapa lama keadaan itu akan berlarutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara Malaysia, Bukit Jalil.

Melvin menjelaskan, buat masa ini MSBF akan memberi tumpuan kepada penyertaan atlet negara dalam kejohanan yang berlangsung di rantau Asia dan Asia Tenggara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MSBF turut berdepan cabaran besar menjelang Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan rekod lampau ketika negara menjadi tuan rumah, skuad negara gagal meraih sebarang pingat emas dalam acara snuker dan biliard.

“Pada edisi Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur dan juga Sukan SEA 2017, kita tidak memenangi sebarang pingat emas walaupun berjaya meraih lima pingat keseluruhan.

“Setiap kali kita menjadi tuan rumah, cabarannya sangat besar kerana atlet kita perlu berdepan tekanan beraksi di laman sendiri,” katanya.

Beliau menjelaskan tekanan tersebut berbeza berbanding ketika atlet bertanding di luar negara kerana mereka perlu beraksi di hadapan keluarga serta rakan-rakan yang hadir memberi sokongan.

Pada Sukan SEA 2025 di Thailand, skuad snuker negara menyumbang dua pingat emas menerusi Thor Chuan Leong dalam acara 6-red snuker individu lelaki serta acara berpasukan lelaki.