Komuniti sukan sambut baik jaminan peruntukan sukan kekal

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Jaguh Para Berbasikal Mohammad Yusof Hafizi Shahruddin yang dinobat sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa peruntukan sukan negara tidak akan dipotong tahun ini disambut baik oleh penggiat dan pemerhati sukan tanah air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis Paralimpik Malaysia gembira; jaminan peruntukan memastikan persiapan atlet ke temasya antarabangsa berjalan lancar.
  • Persiapan kontinjen ke Sukan Komanwel Glasgow dan Sukan Para Asia Nagoya tidak akan terjejas.
  • Sokongan memastikan persiapan menuju Sukan Para Asia 2027 sebagai tuan rumah dapat diteruskan.
  • Pemerhati menegaskan kesinambungan dana penting untuk pembangunan sukan elit serta pengukuhan sukan akar umbi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025, di sini hari ini.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Seri Megat D. Shahriman Datuk Zaharudin menyifatkan pengumuman itu sebagai berita gembira kepada komuniti sukan paralimpik negara, khususnya dalam memastikan kelancaran persiapan atlet ke temasya antarabangsa.

“Pengumuman ini merupakan satu berita yang amat menggembirakan buat kami di Majlis Paralimpik Malaysia serta seluruh warga sukan paralimpik kebangsaan. Alhamdulillah, dengan perkembangan positif ini, persiapan kontinjen negara ke temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Sukan Para Asia di Nagoya, serta persiapan menuju Sukan Para Asia 2027 yang bakal menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah tidak akan terjejas,” katanya ketika dihubungi RTM.

Sementara itu, pemerhati sukan merangkap mantan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi MARA, Mohd Sadek Mustaffa berkata jaminan tersebut sebagai langkah penting dalam memastikan pembangunan sukan negara terus konsisten.

“Ini kerana pada dasarnya, pembangunan dan persiapan sukan di peringkat tertinggi serta kebangsaan memerlukan dana yang mencukupi agar segala program dan gerak kerja dapat dilaksanakan dengan lancar. Lebih-lebih lagi ketika kita sedang membuat persiapan menghadapi Sukan Komanwel pada Jun dan awal Julai nanti, selain tumpuan terhadap Sukan Asia di Tokyo,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata, kesinambungan sokongan kerajaan juga penting bagi memastikan prestasi atlet negara di pentas antarabangsa terus diperkukuh serta pembangunan sukan akar umbi dapat dipertingkatkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.