Kod Sukan Selamat pastikan persekitaran yang selamat untuk wanita

Dr Mohammad Taufiq Johari. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pelaksanaan Kod Sukan Selamat akan menjadi keutamaan utama bagi memastikan persekitaran sukan yang lebih selamat, khususnya untuk wanita dan golongan muda yang ingin menceburi bidang sukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tangani kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan anak dalam aktiviti sukan di sekolah, persatuan dan pertandingan.
  • Laksanakan Kod Sukan Selamat secara menyeluruh untuk mewujudkan budaya sukan bebas salah laku dan gangguan.
  • Tiada kompromi terhadap salah laku; jalankan siasatan segera dan ambil tindakan undang-undang sewajarnya.
  • Pantau pematuhan di semua peringkat persatuan dan tingkatkan penyertaan wanita muda melalui program pembangunan akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammad Taufiq Johari berkata, inisiatif tersebut penting bagi menangani kebimbangan ibu bapa terhadap aspek keselamatan anak-anak mereka apabila terlibat dalam aktiviti sukan sama ada di peringkat sekolah, persatuan mahupun pertandingan.

“Fokus paling penting kita adalah untuk membentuk dan melaksanakan Kod Sukan Selamat, khususnya bagi wanita. Kita mahu memastikan ibu bapa yakin bahawa bidang sukan merupakan satu ruang yang selamat untuk anak-anak mereka.

“Pelaksanaan kod tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh bagi mewujudkan budaya sukan yang bebas daripada sebarang bentuk salah laku dan gangguan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Seminar Wanita Dalam Sukan Kebangsaan & Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan 2026-2030 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Dr Mohammad Taufiq dalam pada itu menegaskan, tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang bentuk salah laku yang berlaku dalam arena sukan.

“Keutamaan sekarang adalah memastikan Kod Sukan Selamat dilaksanakan sepenuhnya. Jika terdapat sebarang aduan atau petunjuk salah laku, siasatan menyeluruh akan dijalankan dengan segera dan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang akan diambil,” ujarnya lagi.

Beliau turut memberi jaminan, pematuhan terhadap kod berkenaan akan dipantau di semua peringkat dan melibatkan seluruh persatuan sukan bagi memastikan keselamatan atlet sentiasa terpelihara.

Dalam masa yang sama, pihaknya menyasarkan peningkatan penyertaan wanita muda dalam sukan melalui pelbagai program pembangunan di peringkat akar umbi.

“Pada tahun pertama ini, kita mahu melihat lebih ramai wanita muda menyertai bidang sukan sama ada melalui persatuan, sekolah atau platform lain. Penyertaan sejak usia
muda amat penting kerana mereka boleh dibimbing dan dibangunkan secara berperingkat sehingga ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.