
KUALA LUMPUR, 30 JUN – Acara larian terulung negara, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 diumumkan sebagai medan rasmi pemilihan awal atlet maraton negara ke Sukan SEA 2027.
- Lima pelari terbaik bagi kategori lelaki dan wanita yang memenuhi had kelayakan akan disenaraikan sebagai pemilihan awal ke Sukan SEA 2027.
- MA mensasarkan pingat di Sukan SEA dengan melaksanakan pembangunan atlet secara lebih tersusun dan sistematik.
- MA komited menyediakan sokongan menyeluruh termasuk program latihan sepanjang tahun berpandukan sasaran prestasi dan perkembangan atlet.
Timbalan Presiden Olahraga Malaysia (MA) Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, lima pelari terbaik, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita yang memenuhi had kelayakan akan dipilih dalam senarai awal ke temasya dwitahunan itu.
“Kami menaruh harapan agar atlet yang menyertai program ini mampu muncul sebagai pemenang pingat di pentas Sukan SEA. Usaha ini pada asasnya bertujuan melahirkan atlet yang mampu menaiki podium dan ia perlu dilaksanakan secara lebih tersusun serta sistematik.
“Kumpulan atlet yang dikenal pasti ini merupakan antara kelompok terbesar yang kami miliki. Semua yang dipilih memenuhi standard yang telah ditetapkan dan menjadi tanggungjawab kami untuk terus membangunkan potensi mereka.” katanya.
Tambah beliau, MA terus komited meningkatkan kehadiran atlet marathon negara di pentas antarabangsa dengan menyediakan sokongan lebih menyeluruh, termasuk program latihan sepanjang tahun yang berpandukan kepada sasaran prestasi dan perkembangan atlet.
KLSCM merupakan acara larian jalan raya pertama dan satu-satunya di negara ini yang menerima pengiktirafan Label Elit daripada Olahraga Dunia, dengan edisi 2026 dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Oktober depan.
Seramai 40,000 pelari termasuk peserta dari 70 negara akan bersaing merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM500,000 bagi edisi tahun ini.