Kejohanan Olahraga Dunia: Danish Iftikhar cipta sejarah mara ke final 100m

Danish Iftikhar Muhammad Roslee mara ke final acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2026 di Oregon, Amerika Syarikat / Foto Olahraga Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencipta sejarah apabila mara ke final acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2026 di Oregon, Amerika Syarikat, selepas mencatat masa 10.36 saat pada saingan separuh akhir, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Final dijadual esok pada jam 11.50 pagi waktu Malaysia.
  • Mengangkat Danish sebagai salah seorang daripada sembilan pecut terbaik dunia bawah 20 tahun, detik bersejarah buat olahraga Malaysia.
  • Mempunyai rekod peribadi 100m 10.18s, rekod kebangsaan 200m 20.72s; anggota Program Podium MSN dan konsisten beraksi.

Kesatuan Olahraga Malaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, aksi final dijadual berlangsung esok pada jam 11.50 pagi waktu Malaysia.

“Kejayaan ini menyaksikan Danish muncul sebagai salah seorang daripada sembilan pelari pecut terbaik dunia bawah 20 tahun, sekali gus melakar satu lagi detik bersejarah buat olahraga Malaysia.

Tahniah Danish, semoga berjaya memburu keputusan terbaik di pentas akhir,” menurut hantaran itu.

Pencapaian tersebut meneruskan peningkatan prestasi atlet berusia 19 tahun itu yang sebelum ini muncul antara prospek utama pecut negara selepas mencipta rekod peribadi 10.18 saat dalam acara 100m pada Sukan SEA 2025, selain memecahkan rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.72 saat.

Danish, yang turut berada dalam Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN), sebelum ini memberi tumpuan kepada acara 100m di Kejohanan Dunia Bawah 20 Tahun selepas turut melayakkan diri dalam acara 200m.

Sebelum beraksi di kejohanan dunia, atlet kelahiran Johor itu turut mempamerkan prestasi konsisten apabila mara ke final 100m pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Asia di Hong Kong, selain mencatat masa terbaik musim 10.38 saat pada peringkat separuh akhir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.