
KUALA LUMPUR, 4 April – Persekutuan Taekwon-Do Malaysia (ITF) hari ini melancarkan ekosistem digital komprehensif bagi memodenkan tadbir urus, sistem pensijilan dan landskap penganjuran pertandingan sukan berkenaan di negara ini.
- Sistem digital menjejak perjalanan atlet dari tali pinggang putih hingga ke tahap elit.
- Merekod tahap tali pinggang, prestasi, jurulatih dan penyertaan pertandingan secara masa nyata untuk pemilihan antarabangsa.
- Menggantikan kaedah manual yang menimbulkan isu integriti, ketelusan dan kesukaran pengesanan maklumat atlet.
- Menampilkan pemarkahan elektronik, siaran keputusan langsung dan pengiraan ranking automatik; geran kerajaan RM65,000 menyokong pembangunan.
Timbalan Presiden ITF, Datuk Dr. Shakir Husein Kalid berkata, pelancaran itu menandakan detik penting kepada persekutuan apabila satu sistem digital menyeluruh diperkenalkan bagi menjejak perjalanan atlet dari peringkat asas hingga ke tahap elit.
“Hari ini ialah hari yang penting untuk ITF kerana kita melancarkan satu ekosistem digital seseorang atlet bermula dari peringkat tali pinggang putih sehingga ke pemilihan mewakili negara,” katanya pada sidang media di Institut Sukan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata sistem itu mampu merekodkan setiap pencapaian atlet termasuk tahap tali pinggang, prestasi, jurulatih dan penyertaan pertandingan secara masa nyata sekali gus memudahkan proses pemilihan ke peringkat antarabangsa.
Jelas beliau, kaedah manual yang digunakan sebelum ini bukan sahaja menimbulkan isu integriti dan ketelusan malah menyukarkan proses pengesanan maklumat atlet.
“Sistem itu menampilkan pemarkahan elektronik, penyiaran keputusan secara langsung serta pengiraan ranking automatik yang turut digunakan pada peringkat kejohanan dunia.
“Dengan sistem digital ini, kita dapat meningkatkan integriti, ketelusan, kebolehjejakan serta rujukan selain mengelakkan isu sijil palsu atau maklumat tidak tepat,” katanya.
Dalam pada itu, Shakir berkata pembangunan sistem berkenaan turut disokong oleh geran padanan kerajaan berjumlah RM65,000 yang membantu sebahagian kos pembangunan perisian. – BERNAMA